warlord UMNO Kelantan PAS saman SRC

Warlord UMNO buat perangai bila nama tak naik jadi calon

SETIAP kali pilihan raya menjelma, UMNO pasti berdepan masalah lama. Ketua-ketua bahagian bermentaliti ‘warlord’ yang namanya tidak naik jadi calon biasanya buat hal.

Dengar khabar, masalah itu sedang berlaku dalam suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berbaki empat hari sahaja lagi.

Setakat ini, belum ada lagi yang merajuk sampai tinggalkan parti. Cuma mereka tidaklah berkempen untuk calon parti dengan sepenuh hati.

Budaya ‘warlord’ ini bukan baharu dalam UMNO, sudah berlaku sejak dahulu, kini dan mungkin selama-lamanya.

Kebanyakan ketua UMNO bahagian yang berperangai sebegini lazimnya jenis manusia yang syok sendiri. Perasan diri mereka bagus sangat sampai anggap orang lain tak layak jadi calon.

Mereka mungkin anggap peluang jadi calon bertanding dalam pilihan raya itu hak mutlak ketua bahagian.

Seorang kawan yang juga orang UMNO di Johor sangat sedih melihat perangai gila kuasa ketua-ketua bahagian yang macam tidak serik selepas Barisan Nasional (BN) tumbang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Aku pun tak tahu nak cakap apa lagi. Ingatkan dah tak ada lagi yang buat perangai warlord. Rupa-rupanya aku silap.

“Mungkin dia ingat parti tak boleh hidup tanpa dia. Dia ingat UMNO ni milik dia. Dia seorang je yang layak jadi calon.

“Kami yang kat bawah ni tak kisah pun siapa jadi calon, asalkan orangnya tak banyak masalah. Bukan biawak hidup.

“Bila pucuk pimpinan dah pilih, kami terima aje. Kami kerja sungguh-sungguh untuk menangkan calon dan parti.

“Tapi puak warlord ni lain pulak. Bila nama tak naik jadi calon mulalah buat perangai. Buat kerja pun macam melepas batuk di tangga je,” kata sahabat UMNO itu.

Sikap warlord ketua bahagian itu sedikit pun tidak mengejutkan sebab itu memang budaya UMNO yang begitu mencengkam dan membarah sehingga sukar untuk diubati lagi.

Tengok apa yang pemimpin-pemimpin UMNO buat di Johor pun cukuplah. Sudah elok-elok buat kerajaan bersama wakil rakyat Bersatu dan PAS, tiba-tiba mereka juga yang minta bubar Dewan Undangan Negeri (DUN).

Nampak sangat mereka mahu bolot semua kuasa di Johor. Tak mahu berkongsi dengan parti-parti lain yang bersahabat.

Kalau sesama sendiri pun asyik berperang, dengan orang lain lagilah tak boleh dibuat kawan.

Memang patut sangatlah Datuk Mas Ermieyati Samsudin panggil UMNO ‘musibat’.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *