Larkin Zulkifli

Untunglah orang Larkin kalau Zulkifli Bujang jadi ADUN

PENGUNDI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pasti beruntung sekiranya mereka memilih calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang menjadi wakil rakyat mereka pada Sabtu ini.

Apa sahaja masalah yang dihadapi mereka terutamanya isu perumahan, tanah dan bantuan pasti diberi perhatian sepenuhnya oleh bekas wartawan kanan Bernama TV yang mesra rakyat itu.

Memetik laporan Utusan TV, Zulkifli turut memberi jaminan akan menyelesaikan semua perkara itu sejajar dengan aspirasi kerajaan PN yang prihatin terhadap isu rakyat.

“Rata-rata nyatakan soal perumahan, soal tanah dan bantuan khususnya yang sewajarnya diberikan kepada peniaga. Itu yang mereka harapkan.

“Di bawah PN, kita sentiasa menitik beratkan soal keprihatinan dan kesejahteraan mereka,’’ katanya.

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu juga yakin beliau dapat menabur bakti di kawasan DUN Larkin, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

“Semasa pandemik lalu, kerajaan PN telah melakukan tanggungjawab. Selepas tempoh pandemik, kita perlu memikirkan sesuatu bagaimana hendak menambah pendapatan, menstabilkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini adalah antara perkara dan cabaran yang perlu saya fikirkan untuk penduduk di Larkin ini khususnya.

“Apabila saya menjadi calon di Larkin ini, saya rasa amat faham apa diperlukan oleh rakyat… jadi saya rasa perlu laksanakan apa yang pernah dilalui dahulu. Kalau orang perlukan bantuan maka cari penyelesaian untuk keselesaan penduduk. Maka, itu yang boleh saya tawarkan kepada penduduk khususnya di DUN Larkin ini,” jelasnya.

Mengenai pengundi muda, Zulkifli berkata, cabaran mendekati mereka juga besar, namun beliau berharap bukan pengundi muda sahaja, tetapi semua lapisan pengundi di kawasan DUN Larkin dapat beramai-ramai keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing, Sabtu ini.

“Saya menyeru kepada semua yang mengundi di DUN Larkin supaya keluar mengundi dan laksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan masa hadapan kita bersama,’’ ujarnya.

Pada PRN kali ini, Zulkifli dijangka menang dalam pertandingan enam penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu Mohd Hairi Mad Shah; Dr. Zamil Najwah Arbain dari PKR dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Selain itu, DUN Larkin juga bakal menyaksikan kehadiran calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Rasid Abu Bakar dan seorang calon Bebas iaitu Nor Ramadan Buan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *