PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan semula sempadan negara berkuat kuasa mulai 1 April ini.
Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Pembukaan semula sempadan negara itu merupakan salah satu daripada kelonggaran yang diberikan dalam fasa ‘peralihan ke endemik’.
Perkara-perkara lain berkuat kuasa 1 April yang diumumkan beliau adalah:
i. Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.
ii. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.
Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.
iii. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai. Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu/ pengunjung.
iv. Aktiviti solat jemaah di masjid/ surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
v. Keperluan vaksinasi:
Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.
Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.
vi. Tiada lagi had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti melibatkan perkumpulan ramai. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.
vii. Rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam
MySejahtera.
Leave a Reply