PRN Johor:Lapor polis jika ada pihak halang keluar mengundi

POLIS meminta orang ramai membuat laporan jika terdapat cubaan daripada mana-mana pihak untuk menghalang mereka keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan termasuk melihat jumlah kehadiran orang ramai semasa hari mengundi.

“Beritahu polis (sekiranya ada pihak menghalang) dan kita akan pastikan bahawa perjalanan (mengundi) dipantau.

“Kita pantau daripada segi jumlah kehadiran, apabila sudah sampai tengah hari, tengok kenapa orang tidak hadir, atas apa sebab kita akan semak, sama ada terdapat halangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal PRN Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Zaman mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat individu yang dihalang oleh mana-mana pihak untuk keluar mengundi.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat halangan lain seperti kawasan mereka dilanda banjir kilat.

“Sekarang ini (apabila) petang selalu hujan dan dikhuatiri (boleh berlaku) banjir kilat. Jadi kita perlu kerjasama daripada masyarakat untuk maklum kepada kita, sekiranya mereka terhalang untuk ke pusat mengundi (sila) beritahu kita segera,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 11,500 anggota dan pegawai polis serta pasangan di negeri ini terlibat dengan pengundian awal PRN Johor di 83 saluran pada hari ini, dengan 1,500 daripadanya mengundi di Dewan Dato’ Onn.

Beliau berkata proses pengundian berjalan agak perlahan awal pagi tadi berikutan hujan, namun berjalan lancar dua jam kemudian selepas cuaca kembali cerah.

“Kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar (keluar mengundi ketika ini) tetapi kita akan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *