Oleh RIZQI ZABIDI
Polis menahan seorang lelaki setelah klip video memaparkan tindakannya melastik ke arah kenderaan lain tanpa sebab, menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika lelaki berkenaan yang merupakan seorang penganggur berusia 49 tahun, memberhentikan motosikalnya di lampu isyarat Amanjaya, Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 6.20 petang.
“Ketika kejadian, lelaki itu dipercayai melastik ke arah sebuah lori yang berada di laluan bertentangan. Perbuatannya itu turut dirakam seorang pengguna jalan raya lain yang turut memuat naik klip video berkenaan di Facebook bagi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati.
“Laporan polis turut dibuat terhadap kejadian tersebut. Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan suspek di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Lalang, Bedong kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya.
Adzli menambah, suspek didakwa mengaku terlibat dalam kes tersebut dengan rampasan barang kes iaitu lastik serta batu turut dibuat setelah ia ditemukan dalam raga motosikal miliknya.
“Suspek mendakwa mengalami halusinasi ketika melakukan perbuatan tersebut. Ujian urin mendapati dia positif dadah jenis MOP dan turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.
Kes lelaki melastik kenderaan tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Leave a Reply