Muhyiddin Pekan Parlimen

Pekan seorang yang cerdik berbohong, Muhyiddin perli Najib

MALAYSIA sememangnya bernasib baik kerana Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya senario itu tidak berlaku, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sangsi skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) akan disiasat oleh kerajaan.

“Bayangkan jika Pekan masih Perdana Menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia.

“Jadi benarlah Pekan ini seorang yang cerdik – cerdik berbohong,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PN menambah, selepas PRU-14, kerajaan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri.

Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas itu untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang dan aset 1MDB yang disorok di negara-negara asing.

“Saya difahamkan setakat ini lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah berjaya dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Asset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB,” jelasnya.

Beliau berkata, pada 2 Mac lalu, Dewan Rakyat telah dicemarkan oleh kenyataan Ahli Parlimen Pekan berkenaan hutang 1MDB yang mendakwa hutang tersebut tidak dibayar menggunakan wang rakyat.

Presiden Bersatu itu menegaskan, kenyataan itu adalah tidak benar dan mengelirukan Ahli-ahli Parlimen.

“Saya hairan Pekan sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh terlupa bahawa hutang-hutang 1MDB adalah dijamin oleh kerajaan.

“Apabila 1MDB gagal membayar hutang-hutang termasuk faedah yang keseluruhannya berjumlah lebih RM50 billion, maka kerajaanlah yang terpaksa membayar hutang-hutang ini,” jelasnya.

Muhyiddin memberitahu, seperti yang dijelaskan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu, setakat akhir Februari lalu, jumlah hutang 1MDB yang masih perlu dibayar adalah bernilai RM38.8 bilion, merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah hutang.

Menurut beliau, Tengku Zafrul pada Januari lalu turut memaklumkan, kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion setakat ini.

“Maknanya, ini duit rakyatlah. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Pekan ialah, oleh kerana kerajaan telah berjaya merampas semula sebahagian wang dan aset 1MDB yang telah dicuri, maka gunalah wang dan aset itu untuk membayar balik hutang 1MDB,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, antara aset yang berjaya dirampas semula adalah sebuah kapal layar mewah bernilai AS$130 juta, sebuah jet peribadi bombardier bernilai AS$35 juta dan aset-aset mewah milik anak tiri Najib iaitu sebuah townhouse bernilai 23.2 juta pound di London, sebuah rumah mewah bernilai AS$17.5 juta Beverly Hills dan sebuah kondominium mewah bernilai AS$35.5 juta di New York.

Beliau berkata, kesemua aset-aset tersebut tentunya dibeli bukan untuk tujuan pelaburan yang menguntungkan 1MDB.

“Tetapi sebaliknya dikeroyok oleh orang-orang yang rapat dengan Pekan menggunakan sebahagian wang berjumlah AS$4.5 bilion yang dicuri dari 1MDB,” katanya.

Seperti yang sudah banyak kali Muhyiddin jelaskan dan tegaskan, kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan.

“Apa lagi yang kesnya terkenal seantero dunia sebagai (dengan izin) “the biggest scandal of the century” yang melibatkan rantaian penyangak kewangan global atau the plundering idiots yang mencetuskan a national embarrassment,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *