Dua maut, lori rempuh motosikal berteduh bawah jejambat

Oleh RIZQI ZABIDI

DUA penunggang motosikal maut dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori dengan sembilan motosikal di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Gurun, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, (ACP) Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.40 petang ketika kesemua motosikal tersebut diletakkan di bawah jejambat berikutan hujan lebat.

Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua sembilan motosikal tersebut diletakkan secara dua lapis di lorong kecemasan dan kesemua penunggang berada di sisi motosikal masing-masing.

“Tiba-tiba, sebuah lori yang bergerak di lorong kiri lebuh raya merempuh kesemua motosikal tersebut dari arah belakang.

“Berikutan itu, dua penunggang motosikal berusia 28 dan 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sudah pun menahan pemandu lori tersebut yang berusia 28 tahun dan berasal dari Bachok, Kelantan bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah dan dia juga didapati bebas dari pengaruh alkohol.

“Kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *