bakal banduan

‘Bakal banduan’ seperti Najib tak layak berdebat dengan Muhyiddin

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ‘bakal banduan’ seperti Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak untuk berdebat dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya menyahut cabaran berdebat dengan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai isu Felda.

“Saya rasa bakal banduan ini tidak layak untuk bercakap dengan seorang tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi dia kena sedar diri dan cari orang yang satu kumpulan dan satu darjat dengan dia.

“Cabaran Datuk Seri Azmin pun dia tak jawab dia nak cakap besar pulak.

“Daripada dia mencabar sana sini nak berdebat dengan Tan Sri Muhyiddin baik dia usahakan untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya bila dia di mahkamah.

“Jangan bagi alasan jangan bagi dalih untuk mengelak pergi ke mahkamah banyak sangat alasan,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.

Semalam, Najib mencabar Muhyiddin untuk berdebat dengannya tentang isu Felda.

Sebelum itu, Mohamed Azmin mencabar Najib untuk berdebat sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Sementara itu, Wan Saiful menyifatkan tindakan beberapa bekas pemimpin Bersatu meninggalkan parti tidak menjejaskan peluang PN untuk memenangi PRN Johor.

Beliau berkata, mereka yang menyertai Bersatu atas kepentingan peribadi seperti kemaruk menjadi calon dipersilakan untuk meninggalkan parti.

Wan Saiful turut menyeru kepada kira-kira 400,000 pengundi yang bermastautin di luar Johor untuk pulang mengundi pada 12 Mac ini.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan yang duduk di luar tidak balik mengundi maka saya bimbang keputusan akan memihak pihak yang tidak selayaknya jadi kerajaan negeri Johor,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *