PRN Johor: Penganjuran debat secara bersemuka tidak dibenarkan – Polis

POLIS tidak membenarkan sebarang penganjuran program perdebatan secara bersemuka dilakukan oleh mana-mana pihak sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ia bagi mengelakkan daripada timbul suasana yang tidak tenteram, sekali gus memecahkan keamanan di negeri ini.

“Berdebat secara berdepan (bersemuka) kita tidak benarkan. Tolong faham keadaan (kerana) sekarang ini, keadaan adalah tenang dan masing-masing boleh berkempen dan semua parti politik yang hendak berkempen boleh lakukan dengan aman. Jadi kita tidak mahu ada satu perkara yang boleh memecahkan keamanan yang menyebabkan rosak habis semua tidak boleh berkempen,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi perdebatan antara pemimpin MCA dan DAP yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Sesi debat membabitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibatalkan setelah tidak mendapat kebenaran pihak polis, yang mana ia dijadualkan berlangsung pada hari ini di Dewan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, serta akan membincangkan mengenai isu membabitkan sebuah sekolah.

Kamarul Zaman berkata setakat ini pihaknya hanya membenarkan program berbentuk ceramah.

“Kita benarkan ceramah sahaja dan permit ceramah memang kita luluskan…kita bantu kecuali ada beberapa yang kita tidak luluskan kerana demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat di Johor,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah meluluskan sebanyak 1,411 permit bagi ceramah dan kempen sejak hari penamaan calon sehingga semalam dan menjelaskan hanya enam permohonan ditolak, antaranya atas faktor pertindihan waktu dan lokasi ceramah berada berdekatan antara satu sama lain.

Jelas beliau, sepanjang PRN Johor seramai 806 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan tiada kekecohan berlaku melibatkan mana-mana pihak setakat ini.

Kamarul Zaman pada masa sama berkata pihaknya setakat ini telah menerima sebanyak 152 laporan polis dan telah membuka 10 kertas siasatan yang antaranya membabitkan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Kertas siasatan yang dibuka ini antaranya melibatkan ceramah tanpa permit, khianat dengan api iaitu membakar bahan-bahan kempen, siasatan terhadap posting di laman Facebook yang membangkitkan kemarahan dan ada juga posting berbaur lucah,” katanya.

Beliau berkata siasatan antara lain turut dijalankan mengenai perbuatan yang membangkitkan perasaan jahat atau permusuhan dan pelanggaran prosedur operasi standard. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *