Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SERAMAI 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari beberapa negara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Mega JIM yang diadakan sekitar daerah Kulai malam tadi.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, operasi tersebut dilakuan bermula pukul 10.30 malam di sebuah kilang dan spa yang dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Beliau berkata, menerusi serbuan di sebuah kilang di Senai, pihaknya menahan 64 lelaki PATI warganegara India dan mendapati semua PATI tersebut didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
“Mengikut dasar kerajaan, pekerja negara terbabit hanya dibenarkan bekerja di bawah sektor pembinaan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan.
“Tidak pernah lagi dalam serbuan di kilang sebelum ini, begitu ramai warganegara India diambil bekerja. Kita syak mungkin kilang ini guna perkhidmatan ejen untuk mendaftarkan pekerja-pekerja di bawah rekalibrasi.
“Berdasarkan slip pendaftaran RTK, pekerja ini didaftarkan pada April 2021 dan sekarang sudah Mac 2022 maknanya hampir setahun (pekerja India) bekerja di situ,” katanya selepas mengetuai Op Mega JIM, malam tadi.
Katanya, alasan pemilik kilang berkenaan kononnya tidak tahu pekerja warganegara India tidak boleh bekerja di kilang tidak dapat diterima pihak JIM.
Beliau berkata, selain 64 pekerja India terbabit, JIM turut menahan 16 warganegara Nepal, tiga warganegara Myanmar dan dua warganegara Bangladesh yang tidak mempunyai sebarang dokumen.
Menurutnya, semua PATI lelaki berumur 25 hingga 40 tahun itu dibawa ke lokap Imigresen di Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut.
“Sekiranya majikan boleh membuktikan pekerja yang tidak mempunyai sebarang dokumen tadi memiliki dokumen sah mereka akan dibebaskan.
“Namun, siasatan lanjut akan dibuat terhadap PATI warga India bagaimana mereka boleh diambil bekerja di sini, sekiranya kesalahan dapat dibuktikan maka majikan perlu hantar mereka pulang ke negara asal,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JIM sebelum itu turut menahan 16 wanita warga asing yang terdiri daripada 14 warga Thailand dan masing-masing seorang warga Laos dan Myanmar yang bekerja di sebuah spa.
“Mereka sebenarnya masuk ke negara kita sebagai pelancong pada 2019 tetapi atas faktor Covid-19 mendakwa terkandas kerana tiada penerbangan, pintu masuk negara masing-masing ditutup.
“Imigresen memang beri kemudahan kepada pelancong asing yang sah dan tidak dapat pulang ke negara asal untuk terus kekal sehingga bulan ini tetapi saya percaya wanita-wanita yang ditahan ini mengambil kesempatan,” katanya.
Kata beliau, mereka yang bekerja di pusat kecantikan terbabit turut menawarkan perkhidmatan pelacuran dengan harga antara RM200 hingga RM350 setiap pelanggan.
Leave a Reply