sifar rasuah

Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

TAN Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, sifar rasuah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

Pengerusi PN itu berkata, negara akan musnah jika para pemimpinnya tidak ada integriti.

Menurut beliau, Malaysia sudah ada contoh yang buruk apabila bekas pemimpin negara terlibat dengan rasuah, dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman bersalah.

“Saya sentiasa berpendirian, setiap pemimpin perlu ada sifat amanah dan kesalahan rasuah adalah satu masalah besar kepada negara.

“Bagi mencapai sasaran sifar rasuah pula, sikap benci rasuah perlu ditanam dalam jiwa setiap anak kita dan mereka perlu dididik tentang nilai integriti, moral dan akhlak dari peringkat muda lagi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkongsi jawapan yang diberi kepada Pengarah Malaysia Youth Diplomacy, Liaw Ying Yang pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Johor Bahru hari ini.

Ying Yang bertanya bagaimana Malaysia boleh mencapai sifar rasuah dan meningkatkan integriti dalam kalangan masyarakat.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pemulihan Negara dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pemimpin belia, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

Mengenai soalan M Thenesh dari Universiti Teknologi Petronas, berkaitan belia dan peluang pekerjaan, Mohamed Azmin menjelaskan, sistem pendidikan perlu dirombak bagi mewujudkan situasi ‘graduan mencipta pekerjaan dan bukan mencari pekerjaan.’

Muhyiddin pula menjelaskan, kerajaan PN sebelum ini telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran kesan daripada pandemik Covid-19.

“Saya juga banyak kali membangkitkan keperluan membuka segera sempadan  bagi membolehkan ekonomi berkembang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Saya percaya penerangan dan penjelasan panjang lebar  termasuk oleh YB Azmin dan YB Mustapa itu membuktikan sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengembalikan kehidupan selepas terkesan teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *