Muhyiddin Yassin

PN akan kembalikan zaman kegemilangan Johor jika menang PRN

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGUNDI pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar memberi peluang dan kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan Johor ke zaman kegemilangan seperti sebelum ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Johor mempunyai potensi besar untuk dimajukan namun potensi itu tidak digilap sebaiknya pada ketika ini.

Bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Johor selama kira-kira 10 tahun itu berkata, Johor sepatutnya menjadi negeri yang terkehadapan dalam pelbagai sektor seperti pembangunan ekonomi, agrikultur, pelancongan dan sebagainya.

“Johor ini adalah sebuah negara yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, saya arif tentang ini kerana pernah menjadi Menteri Besar hampir 10 tahun kira-kira 30 tahun yang lalu.

“Saya boleh beri jaminan sekiranya PN mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu, dengan berbekalkan nasihat dan pengalaman yang dimiliki, kita akan jadikan Johor lebih baik daripada sekarang dari pelbagai aspek mencakupi bidang ekonomi, sosial dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berharap, langkah pemulihan perlu disegarakan termasuk pembukaan sempadan agar ekonomi di negeri ini akan semakin pulih.

“Johor adalah antara negeri yang terkesan teruk akibat pandemik bukan kerana negeri ini bergantung kepada Singapura tetapi negara jiran itu terlibat secara langsung dan tidak langsung memberi sumbangan kepada pelbagai sektor di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, peniaga tempatan terkesan yang berurusan membabitkan negara republik itu apabila tersekat laluan disebabkan tidak ada laluan mudah antara kedua-dua negara.

Justeru beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), antara perkara yang diputuskan supaya kerajaan dengan secepat mungkin membuka semula sempadan negara.

“Rakan-rakan dalam Kabinet kata telah bincang, laporan MPN telah dibentang dan saranan saya pada 1 Januari kemudiannya 1 Mac untuk buka sempadan, nampaknya macam belum boleh lagi.

“Kita harap segerakanlah dan penting di Johor sempadan cepat dapat dibuka, ini kerana hampir 300,000 rakyat johor yg berulang alik kerja di singapura masih berada di sana,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *