Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohamad Alias Rasman akan meneruskan pelaksanaan Projek Kembara Wangsa yang terhenti ketika ini jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dilibatkan dalam pembangunan projek tersebut yang akan memberi banyak manfaat.
“Sebagai anak jati Johor Lama, saya dapat melihat betapa banyak dan bernilainya produk-produk warisan sejarah serta khazanah alam di DUN Johor Lama yang boleh diketengahkan sekali gus akan menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Justeru, sokongan pengundi DUN Johor Lama kepada calon PN di DUN Johor Lama pada PRN Johor, 12 Mac ini adalah sangat penting untuk membolehkan Projek Kembara Wangsa disambung semula dengan lebih giat berdasarkan input lebih tepat serta terperinci.
“Semuanya itu disediakan secara profesional UTM yang mendapat kerjasama sebuah universiti di United Kingdom,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, beliau melihat Sungai Johor yang mengalir pada jarak lebih 60 kilometer dalam daerah Kota Tinggi adalah asas kepada kebanyakan produk pelancongan khususnya melibatkan keunikan khazanah alam serta warisan sejarah di DUN Johor Lama.
Di Sungai Johor katanya, terdapat pelbagai produk seperti kunang-kunang, udang galah serta pelbagai spesies ikan air tawar termasuk baung di sebelah hulu manakala spesies ikan laut di hilir yang semuanya menjadi tumpuan kaki pancing.
“Jadi kemudahan penginapan, jeti dan tempat makan akan disusun semula supaya lebih ramai kaki pancing datang ke DUN Johor Lama,” katanya.
Bagi produk berasaskan warisan sejarah pula katanya, di sebelah kiri tebing Sungai Johor menghala ke kuala memang terdapat banyak tinggalan sejarah dan makam lama.
Antaranya Makam Laksamana Bentan, Makam Sultan Mahmud, Makam Cik Siti Aminah (Tembioh) dan Makam Tiga Beranak (Bukit Seluyut) selain warisan sejarah di Kampung Johor dan Teluk Sengat, katanya.
Justeru ujarnya, aspirasi PN untuk mengutamakan kerancakan sektor pelancongan bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi Johor turut menepati slogan Kota Tinggi sebagai Daerah Pelancongan Bersejarah.
Sementara itu, daripada segi politik katanya, PN yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Johor Lama berdasarkan sokongan padu pengundi baharu dan Undi 18.
Ini termasuk perubahan ketara pengundi sedia yang semakin menerima aspirasi pejuangan politik berintegriti, bersih, cekap dan prihati yang didokong Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya.
Komuniti Felda di DUN Johor Lama juga katanya, berpeluang menikmati kehidupan lebih sejahtera dan menikmati pendapatan lebih baik serta peluang pekerjaan baharu menerusi program yang disusun khusus untuk mereka apabila PN menerajui kerajaan negeri selepas 12 Mac ini.
“Ini termasuk pembinaan rumah generasi kedua Felda, pemulihan projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai serta peluang menyertai skim yang berkaitan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usaha pendigitalan bagi perniagaan,” katanya.
Untuk rekod, terdapat enam kawasan Felda di DUN Johor Lama iaitu Felda Ait Tawar 2, Felda Air Tawar 3, Felda Pasak, Felda Lok Heng Selatan, Felda Lok Heng Barat dan Felda Lok Heng Timur.
Leave a Reply