PENGALAMAN dan kasih kepada anak bangsa sebagai seorang guru selama 30 tahun, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Roslan Nikmat lebih tekad mahu memberi sinar harapan kepada golongan belia yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran.
Roslan atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Lan berkata, ramai anak-anak muda atau golongan belia di DUN berkenaan akan cemerlang dalam bidang pekerjaan sekiranya diberi peluang untuk menggilap kemahiran mereka biarpun tidak mempunyai kelayakan pelajaran yang tinggi.
Beliau yang pernah memegang portfolio strategik dan keusahawanan sebagai Ahli Lembaga Pengarah GiaT Mara, akan menggunakan pengalamannya bagi memacu golongan belia mengasah kemahiran mereka menerusi program yang ditawarkan oleh Giat Mara.
“Sekiranya mereka berpeluang untuk mengikuti program yang disediakan oleh Giat Mara, saya yakin dan percaya, mereka akan jadi belia-belia berkemahiran malah usahawan berjaya. Mereka perlukan saluran yang betul,” katanya kepada SatuBerita.
Bagi persediaan awal berkenaan perkara itu, Roslan telah berbincang dengan beberapa syarikat berkenaan kemahiran yang diperlukan sebagai kelayakan untuk diberi peluang pekerjaan.
“Sebagai contoh, saya telah berbincang dengan Syarikat Air Melaka mengenai kemahiran apa yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada mereka. Di syarikat seperti itu, mereka memerlukan pekerja yang mahir dalam bidang perpaipan misalnya.
“Jadi, kami akan menyediakan kursus yang bersesuaian dengan syarikat-syarikat berkenaan. Setelah mereka selesai menjalani kursus Insyaallah, mereka terus mendapat peluang pekerjaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Roslan juga membawa aspirasi untuk membantu penduduk Felda generasi kedua di DUN Tenggaroh mendapatkan kediaman mereka sendiri.
Katanya, perkara itu menjadi antara keutamaannya apabila sering mendengar keluhan penduduk Felda generasi kedua di Felda Tenggaroh yang tidak mendapat perhatian sepatutnya oleh pihak tertentu dalam mendapatkan rumah sendiri.
“Sekarang kita nampak, peluang untuk mereka dapatkan rumah kurang diberikan perhatian oleh pihak-pihak tertentu. Seperti tiada keperluan untuk membantu mereka. Saya akan berjuang habis-habisan untuk membantu generasi kedua ini memiliki rumah mereka sendiri.
“Generasi kedua ini mereka ramai duduk di rumah orang tua mereka, dalam bilangan adik beradik yang ramai malah sudah ada yang berkeluarga. Tambahan pula ramai juga yang bekerja di luar Tenggaroh hilang pekerjaan kerana pandemik,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai pengundi muda dan baharu, beliau akan mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan mesej dalam media sosial khususnya kepentingan mereka bagi melakukan perubahan di DUN Tenggaroh.
“Mereka mesti membuat perubahan dengan memilih parti atau calon yang benar-benar memberikan perhatian kepada mereka di masa depan,” ujarnya lagi.
Leave a Reply