SERAMAI 137 pelajar di Pulau Pinang tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini akibat terjejas dengan wabak Covid-19.
Mereka terdiri daripada seramai 98 calon yang disahkan positif Covid-19 manakala 39 yang lain sedang menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, kesemua calon yang terjejas itu akan menduduki peperiksaan SPM fasa dua pada tarikh yang akan diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan kelak.
Dalam pada itu tambahnya, secara keseluruhan seramai 20,051 calon menduduki peperiksaan itu di 150 pusat peperiksaan di seluruh negeri tersebut bermula hari ini.
“Daripada jumlah itu seramai 18,427 merupakan calon di 122 buah sekolah kerajaan; 369 calon di tiga buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 158 calon di lapan Sekolah Agama Negeri (SAN).
“Turut menduduki SPM tahun ini juga ialah seramai 123 pelajar calon berkeperluan khas (CBK),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Georgetown, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, sebanyak 15 buah hospital di lima daerah di negeri ini turut dijadikan pusat persediaan kepada calon yang berdepan dengan isu kesihatan ketika SPM berlangsung.
“Setakat hari ini, terdapat seorang calon SPM di negeri ini sedang menduduki peperiksaan di hospital,” katanya.
Leave a Reply