Selesaikan segera isu saliran, sampah, pengangkutan awam di Parit Yaani: Ahmad Nawfal

MASALAH sistem perparitan dan saliran, serta isu pengurusan sampah yang menghantui penduduk di sekitar Parit Yaani, Batu Pahat, Johor perlu diselesaikan secepat mungkin.

Dua isu utama membabitkan aspek kemudahan asas itu dianggap sebagai keperluan segera oleh calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Nawfal Mahfodz yang bertanding di kerusi Parit Yaani.

Anak muda berusia 38 tahun ini sedar, jika dua isu utama itu ditangani secara berkesan, secara tidak langsung akan membantu mengatasi masalah banjir kilat.

“Kedua-dua perkara ini patut disegerakan. Jika dua perkara ini diselesaikan, kita akan dapat menangani isu banjir kilat di kawasan ini terutama di Parit Besar.

“Masalah ini sampai sekarang masih tiada penyelesaian,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Sebagai kawasan yang dikategorikan sebagai pinggir bandar, katanya kawasan ini sepatutnya turut menerima limpahan ekonomi dari kawasan bandar, namun isu pengurusan kemudahan asas perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita sebenarnya berada di pinggiran bandar dan sangat strategik untuk menerima limpahan ekonomi. Ia sepatutnya masuk dengan baik jika beberapa perkara asas penting diutamakan dan inilah yang akan menjadi tumpuan saya untuk diketengahkan.

“Contohnya peluang perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS). Saya melihat kepada pola maysrakat setempat. Peluang perlu diberikan kepada anak muda dengan komponen anak muda wanita.

“Mereka ada peluang yang sangat baik dan kita bercadang untuk mengadakan latihan atau kursus yang boleh melonjakkan peluang ini,” katanya.

Namun, pada masa sama, katanya perkara itu juga perlu bergerak seiring dengan penyediaan lebih banyak kemudahan asas sistem perbankan, termasuk kiosk dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Katanya, walaupun pada ketika ini banyak urusan perniagaan dijalankan secara dalam talian, tetapi masyarakat tetap perlu meraikan golongan yang memerlukan atau berniaga secara tunai.

“Sebenarnya mereka juga tidak kahu ketinggalan. Apabila ada lebih banyak kiosk bank tadi, masyarakat di sini boleh mendapatkan penerangan lebih jelas, boleh menggalakkan mereka beralih kepada perbelanjaan tanpa tunai.

“Kita perlu akur, kawasan ini juga adalah kawasan industri, ramai pekerja asing menggunakan mesin ATM,” katanya.

Jika diberi peluang menjadi ADUN di situ, beliau juga akan memperjuangkan isu masalah pengangkutan awam yang dilihat meminggirkan sesetengahkan penduduk.

Ini kerana katanya, kadar laluan bas awam di sini sangat sedikit sekaligus membuatkan penduduk tidak berminat menggunakan khidmat pengangkutan awam.

“PBT (pihak berkuasa tempatan) PBT bagi alasan disebabkan ramai penduduk yang tidak naik bas, tetapi sebenarnya bas yang langsung tiada atau lambat, jadi siapa yang nak naik bas kalau begitu keadaannya. Masalah ini perlu diselesaikan.

“Ramai penduduk di kawasan pendalaman yang perlukan khidmat bas awam. Janganlah pinggirkan mereka. Ada juga yang bergantung harap kepada bas untuk bekerja di kawasan bandar,” katanya. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *