TANYALAH mana-mana ahli akar umbi UMNO pasti mereka mahu Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Selepas menang majoriti lebih dua pertiga di Melaka, mereka yakin prestasi serupa mampu diulangi di Johor yang merupakan negeri kelahiran UMNO.
Bukan itu sahaja, akar umbi UMNO optimis BN boleh menang sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.
Sememangnya kemenangan yang diraih UMNO dan BN amat diperlukan bagi menebus malu setelah ditumbangkan pada PRU-14.
Namun, jauh di sudut hati ahli-ahli UMNO yang masih berfikiran waras, timbul kebimbangan bahawa kemenangan yang dicapai akan mengukuhkan lagi penguasaan kluster mahkamah dalam parti.
Rata-rata mereka sudah letih mempertahankan pemimpin-pemimpin kluster mahkamah yang seolah-olah tidak tahu malu walaupun skandal mereka telah menyebabkan Malaysia jadi bahan lawak antarabangsa.
Memang mereka pada mulanya bersimpati dengan pemimpin-pemimpin yang diheret ke mahkamah atas tuduhan penyelewengan dan rasuah seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada masa yang sama, majoriti akar umbi UMNO yang cintakan parti berharap agar mereka berehat dahulu sehingga kes mahkamah selesai dan lebih baik lagi, berundur dari arena politik arus perdana.
Memang sudah tiba masanya kluster mahkamah UMNO memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin yang bersih dan berintegriti seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk mengembalikan reputasi parti yang tercalar.
Malangnya apa yang diharapkan akar umbi UMNO masih belum berlaku. Sehingga kini, tiada tanda-tanda kluster mahkamah mahu berundur dari pucuk pimpinan parti.
Besar kemungkinan pemilihan UMNO tidak sempat diadakan sekiranya Ismail Sabri tunduk kepada tekanan partinya untuk membubarkan Parlimen lebih awal.
Jika itu yang berlaku, BN diheret memasuki kancah perang PRU-15 dalam keadaan UMNO masih didominasi kluster mahkamah.
Bak kata seorang ahli biasa UMNO yang enggan namanya didedahkan: “Kami memang sayangkan parti tetapi kami sudah tak larat mempertahankan salah laku pemimpin-pemimpin atasan yang menjadi biawak hidup dalam parti.
“Kami yang di bawah berhempas-pulas mencari sesuap nasi lebih-lebih lagi selepas BN kalah dulu. Ada yang hilang kerja. Tetapi pemimpin-pemimpin parti di pusat ramai yang hidup mewah.
“BN menang atau kalah, mereka tetap hidup kaya-raya. Kami bekerja siang malam untuk memulihkan imej parti tetapi mereka yang di atas macam tak insaf lagi.”
Dilema serupa turut dihadapi jutaan ahli biasa UMNO yang tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi. Kalau tak sokong, parti tumbang. Kalau sokong, kluster mahkamah yang menang.
Situasi ditelan mati emak, diluah mati bapa ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Penyelesaian terbaik adalah mendesak agar pemilihan UMNO diadakan secepat mungkin agar barisan kepimpinan baharu yang bebas daripada pengaruh kluster mahkamah dapat dipilih.
Hanya itu satu-satunya cara untuk memulihkan reputasi UMNO yang kini terpalit dengan onar yang dicetuskan kluster mahkamah.
Leave a Reply