Oleh RAHIMI MOHAMAD
CALON kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang ditampilkan Perikatan Nasional (PN) bukan calang-calang orang. Beliau bekas Menteri Besar Johor yang ke-17 dan pernah menjadi Exco Kesihatan dan Alam Sekitar yang menguruskan tragedi Sungai Kim Kim.
Datuk Dr. Sahruddin Jamal, 47, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 13 April 2019 iaitu hanya lebih sebulan setelah Pasir Gudang dilanda pencemaran bahan kimia yang menyaksikan beliau setiap masa berada di lapangan untuk memobilisasi pasukan.
Ketika itu, beliau memainkan peranan penting secara ‘hands-on’ dan turun padang sejak hari pertama, 7 Mac serta melihat sendiri keadaan di lokasi kejadian selain turut mempraktikkan ilmu perubatan beliau dengan memeriksa mangsa-mangsa yang terkena ‘Simptom Kim Kim’.
Tujuh bulan selepas itu, Dr. Sahruddin berdepan tugas besar apabila perlu membentuk dan membentangkan Belanjawan Johor 2020 yang akhirnya menyaksikan lebihan sebanyak RM2.36 juta.
“Anggaran hasil kerajaan negeri pada 2020 mencapai RM1.78 bilion, meletakkannya sebagai tertinggi dalam sejarah penyediaan Belanjawan Johor. Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang terus berdaya tahan, kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.783 bilion.
“Belanjawan Johor 2020 dijangka mengalami lebihan berpunca daripada dasar fiskal negeri yang berkesan dengan melaksanakan perbelanjaan berhemah dan berintegriti selain pengurusan cekap atas hasil yang mampan,” petikan kata-kata Dr. Sahruddin ketika pembentangan berkenaan.
Ini bermakna, walaupun dalam tempoh yang singkat, Dr. Sahruddin berjaya menguruskan kerajaan negeri dengan cukup berkesan dan berintegriti tanpa sebarang kontroversi yang menarik perhatian pelbagai pihak untuk mengecam.
Tetapi sayang beribu kali sayang. Akibat pergolakan politik yang berlaku, Dr. Sahruddin terpaksa melepaskan jawatan beliau hanya selepas 11 bulan mentadbir negeri yang memiliki sempadan antarabangsa dengan Singapura itu.
Apatah lagi baru dua bulan melangkah ke tahun 2020, belum sempat beliau membuktikan kewibawaan untuk melaksanakan sepenuhnya 183 titik fokus yang digariskan dalam Belanjawan Johor 2020 seperti dibentangkan.
Belanjawan bertema Memakmur Dan Mensejahterakan Johor Bestari itu mengandungi enam teras strategik iaitu Mensejahterakan Rakyat, Memakmur Ekonomi, Melestari Alam Sekitar, Membangun Modal Insan dan Memperkasa Syiar Islam.
Dua teras lain adalah Mengukuh Jati Diri dan Memugar Warisan Budaya serta Menambahbaik Tadbir Urus Yang Cekap dan Berintegriti.
Memang bajet negeri itu diteruskan oleh kerajaan seterusnya yang mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Dr. Sahruddin di pertengahan jalan, tetapi ia ibarat lembu punya kerja, sapi dapat nama.
Andai kata Dr. Sahruddin mempunyai masa secukupnya untuk kekal menerajui Johor, pastinya banyak lagi perkara yang boleh beliau lakukan. Personaliti beliau pula usah dicerita lagi kerana jika tidak memakai pelitup muka senyuman sentiasa terukir dibibirnya. Menyantuni masyarakat tanpa mengira waktu dan mudah untuk berjumpa.
Meminjam kata-kata seorang selebriti ketika kempen PRU-14 terhadap seorang calon di Simpang Renggam dahulu. ‘Beliau orang baik-baik, untung orang Bukit Kepong dan Johor’.
Leave a Reply