TOK Chey bimbang melihat apa yang berlaku dalam negara kita ketika ini apabila pemimpin yang terbukti korup dan terlibat salah guna kuasa masih disanjung oleh masyarakat.
Bagaimana kita mahu menjelaskan kepada generasi akan datang mengenai sikap-sikap jujur yang sepatutnya diamalkan sedangkan masyarakat sendiri masih menyokong pemimpin yang terang-terang melakukan perkara yang ditegah oleh Islam.
Adakah masyarakat kita ketika ini sudah hilang pertimbangan dan menganggap segala salah laku itu hanya masalah kecil yang boleh dimaafkan sedangkan impaknya cukup besar kepada masa depan anak cucu kita?
Sebenarnya, sikap masyarakat yang masih menyokong pemimpin yang korup akan melahirkan generasi yang lebih teruk pada masa akan datang.
Lihatlah apa yang berlaku ketika ini, pecah amanah dan salah guna kuasa berlaku bermula dari peringkat bawah hinggalah kepada peringkat atasan.
Golongan bawah berasa tidak salah untuk mengamalkan rasuah kerana mereka ‘hanya’ songlap wang dalam jumlah yang kecil, manakala pihak atasan berasa tidak malu untuk kebas lebih banyak duit kerana tidak dipandang serong oleh masyarakat bawahan.
Satu contoh yang amat sinonim melibatkan masyarakat penyokong rasuah ketika ini ialah apabila ke kedai, semua barang akan dibelek supaya ada tanda halal dan tidak mengandungi babi.
Malah apabila rasa was-was terhadap sumber makanan atau sudah termakan makanan yang tidak halal, maka rasa menyesal bukan kepalang sedangkan apabila makan duit rasuah, tiada langsung sekelumit rasa bersalah.
Tok Chey bukan nak menggalakkan makan makanan yang tidak halal, cumanya keliru dengan sikap masyarakat yang tidak sekata dalam soal pematuhan soal halal haram dalam kehidupan terutamanya melibatkan sumber pendapatan.
Pihak yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang pula dilihat ada yang tergelincir daripada peranan mereka apabila ditangkap terbabit sebagai pelaku rasuah dan mencuri wang rakyat.
Tok Chey amat takut, sikap begini jika dibiarkan akan menyebabkan negara kita runtuh dan akhirnya pada masa itu tiada apa lagi yang perlu disesalkan kerana nasi sudah menjadi bubur.
Lihat sahaja peringatan-peringatan daripada Maha Pencipta yang hadir di bumi kita sejak akhir-akhir ini yang sebenarnya tidak terjangka akan berlaku sedahsyat itu.
Banjir di Lembah Klang sebelum ini dan bah yang sedang berlaku di beberapa negeri antara peringatan yang perlu diambil untuk kita muhasabah betapa masyarakat kini sudah terpesong dalam banyak perkara.
Kejadian gempa yang dahulunya amat jarang berlaku kini makin dirasai hingga ke negara kita. Begitu juga dengan kes-kes pembunuhan seperti anak membunuh ibu dan bapa serta jenayah lain yang tidak tercapai di akal kekejamannya semakin kerap berlaku.
Kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sepatutnya menyedarkan kita bahawa segala kemungkaran yang dilakukan ketika ini hendaklah segera dihentikan. Jika tidak, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai musibah yang lebih dahsyat disebabkan tangan-tangan kita sendiri yang melakukannya ataupun tangan-tangan kita sendiri yang menyokong pemimpin yang bersalah.
Tok Chey harap kita semua dapat berubah dengan kembali kepada ajaran agama dengan mengangkat dan menyokong pemimpin yang bersih dan mampu membawa kita ke jalan yang diredai oleh Allah SWT.
Ramai lagi pemimpin yang jujur, tidak terpalit dengan sebarang skandal sedia berbakti untuk negara kita Malaysia. Ada yang baik mengapa pilih yang buruk seperti pepatah ada sirih hendak makan sepah.
Hindarilah pemimpin yang sudah terbukti membawa mudarat kepada negara kerana kelak kita semua yang akan merana.
- Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply