PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini bakal menguji apakah populariti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menyekat pengaruh UMNO di negeri tersebut.
Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membuat rumusan itu berkata, ini berdasarkan pengaruh Muhyiddin sejak penglibatannya dalam dunia politik di negeri itu.
Johor yang merupakan negeri kelahiran UMNO merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak awal sehinggalah dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.
Pada ketika itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin merupakan anggota PH yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain berasal dari Johor, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan bekas Menteri Besar negeri itu dari 1986 hingga 1995.
Mazlan berkata, Muhyiddin masih berpengaruh di kawasan seperti Muar, Batu Pahat dan Segamat.
“Meskipun tanpa Dr. Mahathir Mohamad, Muhyiddin masih mampu mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu di Johor,” katanya, memetik laporan MalaysiaNow.
Mazlan merujuk kepada perpecahan Bersatu yang menyebabkan Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Justeru, katanya, logik PRN Melaka tidak terpakai 100% untuk PRN Johor.
Menurut Mazlan, polisi Muhyiddin semasa memerangi Covid-19 ketika menjadi perdana menteri pada 2020 menjadikannya lebih popular berbanding pemimpin lain.
“Pengundi melihat Muhyiddin tidak mempunyai isu. Semasa menjadi perdana menteri, banyak perkara dia selesaikan, terutama dari segi kebajikan.
“Muhyiddin juga membawa konsep perpaduan ummah, memandangkan beliau berada bersama Pas dalam PN. UMNO pula dilihat seperti tidak mahu bersama dengan perpaduan ummah,” katanya.
Mazlan menjangkakan Muhyiddin mampu menarik undi kepada PN di kawasan-kawasan Felda di Johor.
Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang mempunyai kawasan Felda termasuk Bukit Permai, Bukit Batu, Pasir Raja, Pantai, Endau, Tenggaroh, Kahang, Paloh, Sedili, Tanjung Surat, Penawar, Johor Lama, Puteri Wangsa, Layang Layang, Bukit Kepong, Pemanis, Kemelah, Buluh Kasap, Tenang dan Gambir.
Anwar gagal pikat Melayu
Menurut Mazlan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi pemimpin yang masih gagal memikat hati pengundi Melayu.
Di kawasan timur Johor seperti Mersing, UMNO masih mengekalkan pengaruhnya yang kuat manakala kawasan bandar cenderung untuk memilih pembangkang.
PRN Johor kali ini dijangka lebih ‘meriah’ daripada PRN Melaka dengan kemasukan parti Parti Ikatan Demoktrik Malaysia (Muda) yang julung kali bertanding pada pilihan raya, selain Parti Warisan (Warisan) yang meluaskan sayap ke Semenanjung.
Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, memberi amaran agar PN tidak terlalu bergantung kepada Muhyiddin semata-mata.
Ini kerana ahli Parlimen Pagoh itu lebih dikaitkan dengan jenama PN berbanding pentadbiran negeri Johor.
“Saya fikir strategi PN ini akan makan diri balik di Johor. Ini kerana segmen yang terdahulu menyokong PN menerusi BN sudah berpatah balik untuk menyokong BN selepas perpecahan UMNO dan Bersatu semakin jelas.
“Ini kerana Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, tidak seperti UMNO atau Pas yang sudahpun mempunyai sokongan akar umbi daripada kelompok tertentu,” katanya kepada.
Pada PRN kali ini, Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir kerana ingin memberi jalan kepada tokoh-tokoh lain di Johor.
Menurut Mazlan, pengundi PRN Johor kali ini akan melihat faktor gabungan politik dan calon.
“Parti-parti kecil memang tiada peluang, kerana PRN akan tertumpu kepada tiga gabungan besar iaitu BN, PN dan PH.
“Daripada segi calon, rakyat Johor cenderung memilih calon muda yang boleh buat kerja. Mereka tidak mahu calon yang nampak macam sakit atau tidak cergas,” katanya.
PRN Johor diadakan susulan pembubaran DUN Johor bulan lepas. Alasan yang diberikan kerajaan negeri ialah pengurangan majoriti satu kerusi menyukar pentadbiran.
Ia selepas kematian bekas menteri besar daripada Bersatu, Datuk Osman Sapian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas.
Leave a Reply