Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
PENGERUSI BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa pengumuman calon parti itu pada PRN Johor berkata, BN memilih konsep WALi iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’, ‘likeable’ dalam penentuan calon.
Walaupun banyak lagi perkataan bahasa Melayu boleh digunakan, nampaknya BN lebih minat menggunakan bahasa asing dalam menunjukkan ciri calon mereka pada pilihan raya negeri kali ini.
Bagi penulis isu itu tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting adalah isi kandungan konsep WALi itu sendiri. Jika diterjemah ‘Winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi). Nampaknya pemilihan acuan itu direka untuk menutup asas penting yang sebenarnya perlu ada bagi seseorang calon wakil rakyat.
Jika diteliti, apa faedah yang rakyat boleh dapat daripada seorang calon yang hanya boleh menang pilihan raya, boleh diterima dan disenangi. Ia tidak membawa pengertian besar kerana ciri utama yang sewajibnya ada ialah calon yang boleh berkhidmat untuk rakyat, rajin, ikhlas dan paling utama ialah berintegriti, amanah serta bersih.
Apa guna calon itu boleh menang pilihan raya tapi kerjanya hanya mahu songlap duit rakyat? Apa gunanya calon itu disenangi rakyat tapi di belakang rakyat sibuk menjarah duit untuk kepentingan peribadi?
Dalam kempen pilihan raya, UMNO dan BN seboleh-bolehnya tidak mahu dan cuba mengelak untuk bercakap mengenai isu integriti. Kerana apa? Ia tidak lain tidak bukan kerana teraju utama mereka sendiri iaitu Zahid sedang berdepan dengan kes integriti.
Zahid ketika ini telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid Hamidi, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid Hamidi didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Dia juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Pada masa sama, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi tulang belakang dan hadir semasa pengumuman calon pada 24 Februari lalu sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.
Kerana kesalahan-kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.
Maka, rakyat boleh nilai sendiri kenapa BN dan UMNO sehabis mungkin akan mengelak daripada berbicara soal integriti kerana pemimpin mereka mengalami masalah integriti yang sudah terbukti di mahkamah.
Oleh itu, sebagai pengundi yang bijak, yang tidak lagi boleh dibeli dengan gula-gula murahan, bertindaklah dengan bijak.
Pilihlah calon daripada parti yang terbukti bersih dan tidak terpalit dengan segala macam skandal yang sudah heboh diperkatakan di seluruh dunia.
- Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply