UMNO yang mendominasi Barisan Nasional (BN) mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan cita-cita atau angan-angan yang sangat besar.
Parti yang dimalukan dengan kekalahan luar jangka itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu berhasrat mahu menang bergaya dengan majoriti dua pertiga di Johor.
Keyakinan tinggi yang tidak masuk akal itu semakin membuak-buak selepas BN-UMNO menguasai Melaka pada PRN lalu.
Namun, mampukah UMNO mengulangi prestasi yang sama di Johor di mana parti-parti lain khususnya Bersatu yang menjadi tunggak Perikatan Nasional (PN) mempunyai pengaruh yang kuat?
Lebih-lebih lagi, apabila pemilihan calon-calonnya kali ini dikaitkan dengan kluster mahkamah yang begitu kuat mencengkam dalam UMNO.
Rakyat termasuk sebahagian akar umbi UMNO sendiri sudah serik dengan penyelewengan salah guna kuasa yang berlaku sebelum PRU-14 dahulu.
Kekayaan negara yang sepatutnya dinikmati bersama oleh rakyat dijarah seperti harta peribadi. Mujurlah perangai tamak haloba mereka terbongkar selepas BN tumbang.
Ramai yang bimbang PRN Johor akan menjadi batu loncatan bagi membolehkan kluster mahkamah UMNO merealisasi angan-angan untuk kembali berkuasa di negara ini.
Tidak dapat dibayangkan betapa malunya kita menjadi rakyat Malaysia jika kluster mahkamah kembali memegang tampuk pemerintahan negara. Sudah tentu Malaysia akan dijadikan bahan lawak antarabangsa.
Perbicaraan skandal 1MDB di Amerika Syarikat (AS) membabitkan bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner pun sudah cukap memalukan sehingga hal dalam kelambu pun dilondehkan secara terbuka.
Cukup-cukuplah sudah kita menanggung kemaluan yang amat besar akibat penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh kluster mahkamah semasa UMNO-BN berkuasa dahulu.
Pada masa ini, pengundi di Johor mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam mengekang kemaraan kluster mahkamah dalam kancah politik negara.
Tangan merekalah yang akan menentukan sama ada teori domino yang didakwa dirancang oleh kluster mahkamah akan diteruskan ke negeri-negeri lain sebelum PRU-15.
Pengundi Johor perlu menunjukkan keberanian luar biasa dengan menolak UMNO-BN sebagai manifestasi protes mereka terhadap sikap kemaruk kuasa kluster mahkamah.
Satu-satunya pilihan yang terbaik bagi mereka adalah Perikatan Nasional (PN) yang terbukti berupaya mentadbir negara dengan sangat cemerlang ketika negara dilanda krisis pandemik COVID-19.
Malaysia pasti mampu pulih sepenuhnya daripada krisis tersebut sekiranya kerajaan PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijatuhkan oleh UMNO-BN dengan cara yang sangat kotor.
Jadikan PRN Johor sebagai satu pengajaran yang amat pahit bagi kluster mahkamah UMNO supaya mereka insaf bahawa rakyat sudah benci dan meluat dengan muka mereka yang tidak tahu malu.
Leave a Reply