PROSES penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di 56 pusat penamaan calon berlangsung dalam suasana aman, terkawal dan lancar.
Menurut Jurucakap bagi PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som, proses penamaan melibatkan 239 calon di seluruh negeri bermula pukul 9 pagi tadi.
“Secara keseluruhannya, proses penamaan dalam suasana aman dan terkawal. Calon mempamerkan sikap yang profesional serta penyokong mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya.
“Sehingga kini tiada insiden yang tidak diingin dilaporkan berlaku,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.
Polis Johor menasihatkan semua parti, kumpulan penyokong dan orang ramai patuh segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dan undang-undang yang ditetapkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan seramai 239 calon akan bertanding di 56 kerusi DUN pada PRN Johor, 12 Mac ini.
Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah berkenaan berdasarkan rekod sebaik selesai tempoh penamaan calon pukul 10 pagi.
Leave a Reply