SEBANYAK 12 kerusi dikenal pasti sebagai antara lokasi tumpuan dan ‘panas’ sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung mulai hari ini hingga 11 Mac.
Kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi rebutan semua parti tersebut menonjolkan calon-calon berprofil tinggi.
DUN Gambir yang sebelum ini kerusinya disandang oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan pertandingan antara empat calon.
Mohd Solihan Badri yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang diberi kepercayaan untuk mempertahankan penguasaan PN di kerusi tersebut yang turut diidam oleh Suraya Sulaiman (Pejuang), Sahrihan Jani (BN-UMNO) dan Na’im Jusri (PKR).
Turut menjadi tumpuan adalah DUN Bukit Kepong di mana calon PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal dijangka tidak berdepan masalah mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau dicabar oleh Nur Afiqah M. Zulkifli (MUDA), Ismail Mohamad (BN-UMNO) dan Md Taib Md Suhut (Pejuang).
Di Parit Yaani pula, calon muda PN dari PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz pasti memberi tentangan sengit terhadap penyandang, Aminolhuda Hassan yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH Johor itu turut berdepan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir (Pejuang) dan Mohamad Najib Samuri (BN-UMNO).
Persaingan di DUN Pulai Sebatang tidak kurang hebatnya di mana Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin yang mewakili PN akan bertembung dengan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang bertanding sebagai calon PH.
Selain mereka, calon Barisan Nasional (BN), Hasrunizah Hassan serta calon Pejuang, Abd Rashid Abd Hadi.
Di Larkin, PN mempertaruhkan muka baharu, Zulkifli Bujang untuk memastikan kerusi tersebut tidak jatuh ke tangan parti lain.
Calon-calon lain yang menjadi pesaing beliau ialah Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang), Muhammad Rasid Abu Bakar (MUDA), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR),
Norramadan Buan (Bebas) dan Mohd Hairi Mad Shah.
DUN Larkin turut menyaksikan pertembungan antara dua calon pembangkang dari MUDA dan PKR.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub bakal berdepan detik memalukan sekiranya beliau gagal mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram kali ini.
Beliau dicabar oleh Zarul Salleh (PN-PAS), Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Amanah) dan Datuk Lokman Md Don (BN-UMNO).
DAP meletakkan calon popular, Marina Ibrahim untuk mempertahankan kerusi DUN Skudai yang turut dicabar oleh Khoo Kong Ek (PN-Bersatu) dan Lim Soon Hai (BN-MCA).
Tidak dapat dipastikan bagaimana penerimaan pengundi terhadap Marina di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Cina yang besar itu.
Setelah dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kembali dalam gelanggang pilihan raya dengan bertanding sebagai calon BN di kerusi DUN Rengit.
Laluan beliau tidak mudah kerana berdepan cabaran daripada tiga calon lain iaitu Mohammad Huzair Lajis (PN-Bersatu), Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir (Pejuang) dan Khairuddin Bin A Rahim (PKR).
Datuk Onn Hafiz Ghazi pula ‘terbang’ dari DUN Layang-layang dan ‘mendarat’ di DUN Machap.
Beliau yang beroleh majoriti sangat tipis pada PRU-14 akan berdepan dengan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang), Azlisham Azahar (PN-PAS) dan Sangaran Rawisandiran (MUDA).
DUN Layang-layang yang ditinggalkannya pula bakal direbut oleh Dr Maszlee Malik (PKR), Alagathiran Krishnan (PN-Bersatu), Abd Mutalip Abd Rahim (BN-UMNO) dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang).
Puteri Wangsa turut menjadi perhatian kerana Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz akan berentap dengan lima calon lain iaitu Adzrin Adam (Bebas), Ng Yew Aik (BN-MCA), Dr Khairil Anwar Razali (Pejuang), Loh Kah Yong (PN-Gerakan) dan Steven Choong Shiau Yoon (PBM).
Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila PKR tidak berpuas hati dengan tindakan Amanah memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di kerusi itu.
Yang terakhir adalah kerusi DUN Benut yang disandang oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Calon PN, Senator Datuk Isa Ab Hamid dilihat mempunyai kekuatan tersendiri untuk menumbangkan Hasni serta menewaskan calon-calon lain iaitu Iskandar Noor Ibrahim (Pejuang) dan Haniff @ Ghazali Hosman (PKR).
Leave a Reply