
Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah mengulas mengenai isu sumpah laknat semasa beliau menjadi Mufti Wilayah Persekutuan kira-kira empat tahun lalu.
Menurutnya, istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali melibatkan perkara mengenai li’an.
Kata beliau, ucapan li’an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan empat orang saksi.
Istilah “mubahalah” (saling laknat melaknati) kata Zulkifli, yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam.
Ia sebaliknya dikategorikan dalam sumpah membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.
Katanya lagi, mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.
“Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim,”katanya.
Pandangan itu diberikan susulan tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan isu pembunuhan Altantuya Shariibu melakukan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Najib melakukan sumpah laknat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang.
Azilah Hadri mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian menjadi Timbalan Perdana Menteri) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Ketika ini pula, isu sumpah laknat kembali menjadi tumpuan apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Tan Sri Muhyiddin Yasin melakukan sumpah laknat susulan isu meminta bantuan dalam kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO itu.
Seperti yang semua ketahui Zahid ketika ini telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid Hamidi, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid Hamidi didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Rakyat melihat Muhyiddin melakukan tindakan tepat apabila tidak melayan tuntutan Zahid supaya turut sama melakukan sumpah laknat.
Ini kerana, Muhyiddin mempunyai saksi dan sudah menunjukkan saksi bahawa Zahid membawa fail kes mahkamah dan berjumpa dengannya untuk meminta bantuan selepas beberapa hari Pengerusi Perikatan Nasional itu menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada Mac 2020.
Bagi rakyat marhaen, sumpah laknat bukanlah ‘ibu’ kepada segala tindakan untuk membuktikan bahawa seseorang itu bercakap benar atau ‘hakim’ untuk menunjukkan seseorang itu tidak bersalah.
Sekiranya sumpah laknat dijadikan sebagai penanda aras untuk membersihkan nama seseorang itu, maka mudahlah bagi setiap penjenayah untuk melakukan perkara sama setiap kali kesalahan dikaitkan dengan mereka.
Mahkamah adalah tempat sebaiknya untuk berhujah kerana segala keterangan dapat diberikan beserta bukti dan panel hakim dapat membuat pertimbangan sewajarnya.
- Penulis adalah penganalisis politi dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply