Pertembungan kerusi PKR-Muda di Larkin:Amanah sokong calon PKR

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Amanah Negara (Amanah) akan mengambil keputusan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang melibatkan pertembungan PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, parti itu membuat pendirian untuk menyokong calon PKR sekiranya keputusan Muda kekal bertanding di kerusi Larkin.

“Bagi Amanah, PKR adalah rakan gabungan. Oleh itu di mana berlakunya pertindihan antara PKR dan Muda di kerusi yang telah diamanahkan kepada PKR, Amanah akan menyokong calon PKR.

“Pada masa sama, di kerusi yang telah Amanah serahkan pada Muda, dari kerusi-kerusi diamanahkan kepada Amanah, Muda hendaklah dianggap mewakili Amanah.

“Semua rakan gabungan PH, termasuk PKR, hendaklah menyokong calon Muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Dr. Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.

Sementara itu, Muda semalam mengumumkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR.

Selain calon PKR dan Muda, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pertindihan kerusi DUN Larkin antara PKR dan Muda hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut menyifatkan perkara itu amat malang jika ia tidak dapat diselesaikan kerana Pakatan Harapan (PH) telah membentuk kerjasama dengan Muda sejak awal.

Sekiranya perkara itu tidak dapat dielakkan, beliau berharap supaya pertindihan dan persaingan antara parti-parti pembangkang dihadkan kepada kerusi terlibat sahaja, manakala semangat kerjasama kekal dipertahankan di kerusi selainnya.

Katanya, usaha itu bagi mendukung matlamat sama untuk menafikan kemenangan kepada UMNO-BN serta menghalang kembalinya kepimpinan yang mendukungi ‘Kluster Mahkamah’.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *