SEBILANGAN ahli Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengambil keputusan keluar parti selepas kecewa apabila parti itu bertanding di kerusi Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presidennya, Dr. Thanussha Francis Xavier mendakwa, ini kerana mereka kecewa pertembungan kerusi Muda dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun katanya, Muda menghormati kehendak mereka yang mahu keluar parti.

“Ya, kami menerima e-mel (daripada ahli yang mahu keluar). Kami menghormati pandangan mereka dan permintaan akan diproses dengan sewajarnya,” katanya, sebagaimana yang dilaporkan The Star, hari ini.

Thanussha bagaimanapun menjelaskan, jumlah yang ingin meninggalkan parti itu sangat kecil.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Dr. Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.

Sementara itu, Muda semalam mengumumkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.

Selain calon PKR dan Muda, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik yang juga daripada PKR, Mohd Najwan Halimi turut berkongsi tangkap layar tweet perbualannya dengan bekas ahli Muda yang mahu menyertai parti itu.

“Alhamdulillah, lebih ramai belia sudah mula sedar dan mereka mahu bersama Keadilan (PKR),” katanya di Twitter.

Sementara itu, Suara Keadilan dalam ciapnya turut memaklumkan, ramai yang menghubungi PKR untuk menyertainya.

“Disebabkan ramai yang join #BatalKeahlianMUDA, ramai yang DM nak join KEADILAN.

“Tapi malangnya penyertaan untuk ahli baru ditutup buat sementara waktu kerana pemilihan parti akan diadakan pada bulan Mei nanti,” ciapnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here