Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan memberi kelainan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan bermula esok dengan tidak memainkan isu perkauman, fitnah, benci membenci dan adu domba.
Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad yang memberi jaminan itu berkata, pendekatan tersebut adalah budaya politik baharu dibawakan PBM.
“PBM akan membawa agenda segar untuk negara bangkit semula daripada kelesuan hubungan antara kaum, ekonomi, sains, teknologi dan pendidikan.
“Ini adalah masa untuk politik negara kembali ke landasan yang betul. Langkah dinamik dan berani ini mengesahkan iltizam PBM yang komited untuk membawa misi ‘The Great Reset 2030’ ke arus perdana politik nasional.
“Permasalahan sistemik dan sosial yang digariskan dalam enam teras perjuangan PBM akan menjadi tema utama sepanjang tempoh kempen PRN ini.
“Medan pilihan raya ini juga akan mencorak naratif baharu politik dengan nuansa berbeza yang akan dihidangkan PBM melalui program kempen serta pendekatannya.
“Tiada politik benci membenci, membakar api perkauman, fitnah dan rekayasa yang mengadu domba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nor Hizwan berkata, peluang meletakkan kembali negara ke landasan yang betul terletak di tangan pengundi Johor, khususnya pengundi muda dan wanita.
Parti itu katanya, sedar PBM berdepan cabaran besar dalam menempuh PRN ini, terutama dengan jentera gergasi parti politik veteran dan kemampuan kewangan.
“Namun saya juga percaya, kuasa undi rakyat akan dapat melakukan sesuatu bagi memulakan langkah baharu Malaysia menuju kegemilangan semula, lupakan politik lama,” katanya sambil merayu agar rakyat Johor memberikan peluang kepada PBM yang bertanding di empat kerusi.
Semalam, PBM mengumumkan calonnya iaitu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, 64, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Muhammad Saiful Bahari Sahari, 33, (Stulang), Mohd. Azmi Ali, 51, (Tiram) dan Muhammad Hanis Asmui Md. Salleh, 28, (DUN Maharani).
DUN Puteri Wangsa dan Maharani sebelum ini disandang Parti Amanah Negara (Amanah), Stulang pula kerusi tradisi DAP, manakala DUN Tiram disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Nor Hizwan berkata, kualiti kepemimpinan Steven Choong melalui khidmat berterusan selaku Ahli Parlimen Tebaru diharap dapat meyakinkan pengundi berbilang kaum di kawasan terbabit pada PRN ini
Sementara pencalonan Muhammad Saiful Bahari di Stulang pula bagi mencabar dominasi DAP di DUN berkenaan.
Katanya, Muhammad Saiful Bahari adalah aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik yang juga fasih berbahasa Mandarin dan berpengalaman berkhidmat dengan syarikat multinasional sebelum ini.
Mohd. Azmi pula katanya, anak jati Kampung Ulu Tiram berkelulusan ijazah syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir.
Beliau berkata, Mohd. Azmi juga bekas pegawai di Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selain pernah berkhidmat lebih 10 tahun di syarikat korporat dan aktif dalam kerja kebajikan melalui NGO di kawasan Tiram.
“Calon paling muda kami, Muhammad Hanis Asmui berpendidikan dalam bidang teknologi automotif diamanahkan bagi membawa hasrat dan idea segar untuk DUN Maharani, khususnya dalam bidang ekonomi dan teknologi,” katanya.
Leave a Reply