PRN Johor: 894 borang penamaan calon dijual

SEJUMLAH 894 borang penamaan calon telah terjual setakat ini bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor dalam kenyataan hari ini berkata, 295 borang dijual kepada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (99), Parti Pejuang Tanah Air (86), Ikatan Demokratik Malaysia (52), Parti Keadilan Rakyat (49), MCA (49), DAP (42), Parti Amanah Negara (34) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (30).

Sebanyak 21 lagi borang penamaan calon dijual kepada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (20), Parti Warisan (lima), Pakatan Harapan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), lain-lain parti (55) dan individu (53).

Sementara itu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan berkata, hari penamaan calon PRN Johor telah ditetapkan Sabtu ini dengan kertas penamaan calon boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bermula jam 9 hingga 10 pagi di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC).

Beliau menyarankan mereka yang ingin bertanding supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang berkenaan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon.

“Bakal-bakal calon juga adalah disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran.

“Ini bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Ikmalrudin turut mengingatkan calon yang mewakili mana-mana parti politik bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Beliau menegaskan hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.

“Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang aktiviti berkumpul dan berarak di mana-mana tempat atau PPC sepanjang hari penamaan calon,” katanya.

Ikmalrudin berkata, prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan pada 18 Februari selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“SOP Khas Pilihan Raya ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya iaitu proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *