Jasa Muhyiddin tamatkan derita peneroka Felda

KEHADIRAN ribuan orang ke Majlis Ramah Mesra Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Felda Seri Ledang, Tangkak malam tadi menarik perhatian.

Sama ada mereka akan menyebelahi atau tidak Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini terlalu awal untuk diperkatakan tetapi apa yang pasti kehadiran mereka memberi isyarat jasa-jasa Muhyiddin kepada mereka ketika Ahli Parlimen Pagoh itu memimpin negara selama 18 bulan sebelum ‘ditumbangkan’ oleh sekumpulan ahli Parlimen UMNO pada Ogos tahun lalu tetap dikenang dan dianggap jasa besar bekas Perdana Menteri itu.

Sememangnya apa yang dilakukan oleh Muhyiddin kepada peneroka Felda bukanlah perkara kecil malah ia dianggap menamatkan penderitaan peneroka Felda yang sudah ditanggung sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Sebagai Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin melihat tanah rancangan Felda adalah aset Melayu. Ia harus dipertahankan dengan apa cara sekalipun.

Segala tindakan yang mahu dilakukan perlu dipastikan tidak meletakkan tanah milik peneroka tergadai kepada orang asing, lanjutan itulah Kerajaan PN melakukan satu langkah dianggap cukup berani apabila bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Langkah menangani hutang peneroka itu terlebih dahulu adalah bagi memudahkan proes penjanaan semula atau restart Felda.

Mengikut rekod pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 20021 bernilai RM78 juta melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34 peratus warga peneroka).

Sementara itu pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM56 juga yang akan dinikmati 6,711 peneroka iaitu kira-kira 6 peratus warga peneroka.

Walaupun apa yang dilakukan oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah satu perkara cukup besar demi kesejahteraan peneroka Felda namun ramai yang tidak menyedari malah ada pula seolah-olah tidak faham signifikan di sebalik langkah berani Kerajaan PN ketika itu.

Namun bagi peneroka Felda apa yang dilakukan oleh Muhyiddin ibarat ‘durian runtuh’ dan melepaskan mereka daripada ‘satu jerat’ yang mungkin akan membelenggu mereka sehingga ke beberapa generasi.

Ia disebabkan secara purata seorang peneroka mempunyai hutang dalam bentuk pinjaman dengan agensi kerajaan itu lebih RM100,000.

Jika merujuk kepada ucapan Muhyiddin ketika sambutan Hari Peneroka Felda 2021, beliau menegaskan, inisiatif itu membolehkan bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah,” kata Muhyiddin ketika itu.

Selain itu, RM400 juta bantu Peneroka Felda hapus faedah hutang kebun dan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu.

Atas sebab itulah bagi generasi muda Felda merasa berasa amat bersyukur dengan apa yang dilakukan oleh Muhyiddin melalui Kerajaan PN.

Seperti mana kata seorang generasi kedua Felda Ciku 3 Gua Musang Azman Ahmad kepada HarakahDaily, langkah kerajaan PN berjaya meringankan beban serta kos sara hidup yang terpaksa ditanggung peneroka di seluruh negara.

Katanya, kebanyakan peneroka merasai manfaat tersebut sekarang dan pendapatan mereka tidak terjejas ketika musim tiada buah.

“Jadi kalau hapus 80 peratus dari hutang daripada RM100,000 maknanya bakinya kira-kira RM20,000 lagi hutang yang perlu dibayar peneroka. Mungkin dalam empat atau lima tahun lagi semua hutang peneroka akan selesai. Lagi pun buah sawit sekarang bernilai RM1,400 satu tan metrik. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah,” katanya.

Ramai lagi peneroka seperti Azman, contohnya peneroka Felda Sungai Panching di Kuantan Awang Din, 73, yang berkata, apabila pengurangan hutang itu mula dilaksanakan, ia sekurang-kurangnya memberi wang lebih kepada peneroka untuk dibelanjakan khususnya dalam situasi getir ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Jika berdasarkan perkiraan kasar yang dibuat, peneroka akan memperoleh lebihan wang sekurang-kurangnya RM250 sebulan yang sudah pastinya boleh membantu kami dalam urusan belanja dapur,” katanya kepada Bernama.

Awang yang bergelar peneroka pada tahun 1972 berkata inisiatif itu juga boleh disifatkan sebagai ‘penghargaan’ kepada generasi pertama peneroka yang telah berpuluh tahun mengusahakan tanaman sawit sehingga menjadi komoditi penting kepada negara.

Sememangnya apa yang dilakukan oleh Muhyiddin amat dihargai oleh peneroka kerana bukan sahaja soal hutang peneroka  diuruskan oleh Kerajaan PN ketika itu malah pelbagai usaha dilakukan bagi menjadikan tanah rancangan Felda ‘bangkit semula’ sebagai kawasan tanah yang berjaya dan sekaligus memberi kesejahteraan kepada peneroka.

Antaranya:

*Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dirangka khusus untuk menggalakkan warag felda menceburi bidang keusahawanan. Melalui program ini ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada kitaran harga komoditi serta dapat mempelbagaikan sumber pendapatan warga Felda sejajar dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

*RM12.4 juta wujudkan hab lembu Pedaging. Dana pemulaan RM12.4juta adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan menerusi inisiatif Program Pembangunan Peneroka (PPP). Setakat ini, Felda meluluskan RM132 juta untuk PPP membabitkan 6,59 projek di seluruh Malaysia dan hab itu adalah yang paling besar.

* Pegangan saham Felda dalam FGV kini 82 peratus. Perkembangan ini membolehkan Felda menguruskan ladang perjanjian pajakan tanah (LLA), FGV, kilang sawit serta isu-isu melibatkan peneroka dengan lebih cekap.

Walaupun begitu perjuangan Muhyiddin masih belum selesai. Banyak lagi yang ingin beliau lakukan demi kesejahteraan peneroka Felda secara keseluruhan. Dan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, sudah pasti MPN mempunyai perancangan berhubung perkara itu.

Namun ia akan lebih bermakna jika PN mempunyai kuasa politik untuk mentadbir negara dengan mendapat mandat daripada rakyat melalui pilihan raya.

Justeru Johor yang boleh menjadi medan permulaan untuk PN menyusun langkah bagi mencapai cita-cita itu. Inilah masanya peneroka Felda yang menikmati hasil pentadbiran Kerajaan PN melakukan sesuatu sebagai menghargai tindakan Muhyiddin menghapuskan derita mereka selama ini.

Dan perlu diingat derita akibat hutang yang masih belum dibayar bukanlah satu perkara kecil. Biarpun peneroka menerima pelbagai bantuan lain termasuk bonus raya tetapi menyelesaikan hutang cukup besar maknanya. Inilah jasa besar Muhyiddin kepada peneroka Felda seluruh negara.

Oleh itu walaupun ada pemimpin yang mendabik dada, mereka amat prihatin dan ‘peneroka Felda sentiasa di hati’ tetapi mereka gagal atau tidak melakukan apa yang dilakukan Muhyiddin. Apa gunanya jadi Perdana Menteri bertahun-tahun sedangkan peneroka terus dibebani hutang yang mungkin terpaksa ditanggung sepanjang hayat dan ‘diwarisi’ oleh anak cucu.

Semoga PRN Johor akan menjadi platform pertama peneroka Felda untuk mengucapkan terima kasih kepada jasa besar Muhyiddin itu, sekaligus menjadi gelombang untuk PN bangkit semula.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *