JIKA sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah bertemu dengannya untuk meminta pertolongan berkaitan kes mahkahmah.
Terbaharu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mendedahkan, Presiden UMNO itu juga pernah datang berjumpa dengan beliau tetapi tidak membabitkan kes mahkamah, sebaliknya, usaha Ahmad Zahid untuk berbaik-baik dengannya.
Astro Awani melaporkan, Dr. Mahathir berkata, dalam pertemuan yang berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertandang ke rumahnya bersama-sama beberapa orang lain.
“Pada masa itu, ada kemungkinan saya jadi Perdana Menteri, sebab itu dia ingin baik dengan saya. Tapi saya dah tahu, masalah Zahid ialah dia ada kemungkinan akan dimasukkan dalam tahanan… masuk penjara kerana perbuatan curangnya, jenayah dilakukannya.
“Selepas dia kembali berkuasa atau bersama dengan parti kerajaan, saya dengar bahawa dia juga cuba nak hapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah. Itulah Zahid.
“Siasatan masih ada dan dia nak bahawa siasatan itu dihentikan. Itu benar,” kata Dr Mahathir dalam sidang media Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), hari ini.
Media semalam melaporkan Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan bersumpah laknat berhubung kenyataannya baru-baru ini yang menyentuh kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid.
Dalam masa sama, Muhyiddin tidak kisah berapa kali pun Presiden UMNO itu mahu bersumpah, namun, beliau secara peribadi tidak akan berbuat demikian.
Kenyataan itu hadir selepas Ahmad Zahid menafikan pernah berjumpa Muhyiddin ketika beliau masih Perdana Menteri dan meminta Ahli Parlimen Pagoh itu membantu kes mahkamahnya.
Ahmad Zahid juga menafikan membawa timbunan fail dan meminta untuk dilepaskan seperti yang didakwa Muhyiddin sebelum itu.
Tegasnya, beliau sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin terhadapnya.
- Zahid tuntut Dr.Mahathir minta maaf
SEMENTARA ITU, dalam satu kenyataan Ahmad Zahid menafikan, beliau pernah meminta Dr.Mahathir menggugurkan kesnya
Berikut kenyataan penuh Presiden UMNO itu;
Saya dijemput bersama-sama dengan Presiden-presiden parti oleh Tun Mahathir untuk menyokong Tun bagi membentuk kerajaan perpaduan. Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai. Saya tidak pernah sekalipun meminta Tun untuk berbuat demikian.
Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Tun menjadi PM-7, kerana ketika itu saya adalah TPM dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan. Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan ‘letter of demand’ (LOD) kepada Tun untuk Tun memohon maaf atas pembohongan Tun.
Leave a Reply