TUN Dr. Mahathir Mohamad mendakwa dia tidak mempunyai kroni seperti yang didakwa oleh seteru politiknya, Najib Razak.
Sebaliknya kata Dr. Mahathir, beliau hanya memiliki beberapa individu yang berkebolehan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Saya tak payah Najib nak jaga kroni saya, saya boleh jaga kroni saya, (tapi) saya tak ada kroni saya hanya ada orang berkebolehan. Saya tak tolong orang yang tak ada kebolehan,” katanya pada sidang media Perjuang, lapor Malaysiakini.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor dengan mendakwa bahawa Pengerusi Pejuang itu pernah beberapa kali menarik sokongan terhadapnya kerana tidak menjaga kroninya.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu sering memberi tekanan kepadanya untuk memberikan projek kepada kroninya ketika dia menjadi Perdana Menteri.
Mengulas lanjut Dr Mahathir mendakwa beliau hanya memberi sokongan pada individu yang boleh memberi kemajuan kepada negara.
Bahkan katanya, anaknya sendiri pun dia tidak berikan sebarang projek ketika menjadi perdana menteri.
Beliau turut meminta Najib mengemukakan bukti jika benar anaknya menjadi jutawan disebabkannya.
“Malangnya yang saya tolong tu banyak, yang gagal tak jadi kroni yang menang saja jadi kroni. Eh, bukan main banyak dapat bantuan kenapa tak dipanggil kroni. Ini cuma tuduhan palsu Najib, tapi ini bukanlah sesuatu yang asking daripada Najib dia memang cakap bohong, dia boleh curi duit lepas tu dia cakap curi duit pun tak apa,” katanya.
Leave a Reply