Oleh RAHIMI MOHAMAD
PERIKATAN Nasional (PN) sehabis mungkin akan memastikan anak tempatan diberi keutamaan untuk menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.
Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal berkata, mereka akan menampilkan calon yang hampir seimbang merangkumi golongan berpengalaman, orang muda serta wakil wanita.
Kata beliau, jumlah berapa ramai muka baharu yang akan dinamakan PN hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada esok petang.
“Memang kita akui apabila banyak calon dan parti bertanding akan ada kesan kepada PN tetapi saya yakin pengundi akan pilih calon terbaik di kawasan mereka.
“Kami di PN ada gabungan anak muda, orang berpengalaman dan di PN kita ingin pastikan setiap calon kita merupakan anak tempatan dan mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra PN bersama pengamal media di Iskandar Puteri, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Md. Nasir Hashim.
Tambah Dr. Sahrudin, sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, PN sudah bersiap sedia untuk terlibat dalam PRN Johor dengan meletak calon di kesemua 56 kerusi DUN.
Katanya lagi, gabungan yang dibentuk antara parti Bersatu, Pas dan Gerakan itu turut yakin boleh menang dan membentuk kerajaan negeri.
“Apatah lagi kami di PN pernah memerintah, kami ada bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar.
“Dengan pengalaman yang ada Inshaallah kita yakin dapat mentadbir Johor dan seterusnya Malaysia dengan lebih baik, sempurna, integriti, amanah dan jujur,” katanya.
Pada masa sama, penyandang kerusi Bukit Kepong itu berkata, PN turut menjalankan beberapa program yang khusus untuk mendekati pengundi baharu termasuk golongan muda yang berjumlah lebih 700,000.
“Undi muda memang ramai, PN buat beberapa program untuk mendekati mereka. Anak-anak muda ini sebenarnya mereka mahu atau mementingkan pemimpin yang integriti dan boleh bekerja untuk mereka,” katanya.
Leave a Reply