Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Sosialis Malaysia (PSM) menafikan mereka bertanding hanya untuk memecah undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusinya, S. Arulchelvan berkata, PSM mempunyai iltizam yang kuat serta mampu memberikan saingan dengan membawa isu-isu pekerja kolar biru yang sering dipinggirkan.
“PSM bukan sekadar parti yang menunggu untuk menghadapi pilihan raya sahaja, parti kita telah lama berkhidmat dan mempunyai kelebihan yang ingin dibawakan. Kita membawa suara rakyat tidak berkemampuan.
“Pekerja ladang, pemandu, petani dan pekerja pembersihan. Ini suara-suara rakyat yang tidak dipandang. Kita merupakan parti yang dekat dengan golongan ini.
“PSM juga merupakan parti yang mempunyai pendirian, kita juga bukan parti yang mengamalkan perkauman, walaupun kita tahu PRN ini bukan pertandingan yang senang, kita tetap akan berjuang dengan pendirian yang kami ingin bawa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dalam Majlis Pengumuman Calon PSM pada PRN Johor di bilik gerakan N49 PSM di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, malam tadi.
SM menjadi parti politik terbaharu menyertai PRN Johor dengan mempertaruhkan calon, R. Arangkannal, 46 sebagai calon tunggal yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.
Pengumuman itu sekali gus menyaksikan PSM akan menyertai Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kerusi yang kini disandang Dzulkefly Ahmad daripada PH-Parti Amanah Negara (Amanah).
Dalam pada itu, Arulchelvan berkata, PSM berjanji tidak akan membawa sentimen politik perkauman sama ada ketika bertanding pada PRN Johor mahupun setelah dipilih sebagai wakil rakyat.
Arangkannal yang juga merupakan seorang penggiat seni berkata, perkara itu adalah matlamat dirinya untuk menampilkan PSM sebagai parti yang tidak menggunakan rasisme sebagai senjata utama.
Beliau yang mesra dengan panggilan Ara itu berkata, PSM berserta aktivis mereka akan terus berjuang untuk memastikan tiada tempat untuk diskriminasi kaum di negara dan negeri ini.
“Walaupun kita berbilang kaum tetapi semua adalah rakyat Malaysia dan PSM bukan sebuah parti berasaskan kaum, sebaliknya ia adalah parti yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum.
“Saya juga berjanji untuk menentang isu-isu diskriminasi perkauman di negara ini, termasuklah perkauman terhadap golongan imigran,” katanya.
Leave a Reply