SEORANG penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 80 pertuduhan menerima suapan bernilai RM21,750 sekitar tahun 2017 hingga 2019.
Tertuduh, Azmawi Zakaria, 47, yang merupakan Bintara Kanan Maritim yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah membuat pengakuan itu ketika semua 80 pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Menurut kertas pertuduhan, Azmawi didakwa menerima suatu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM21,750 daripada seorang individu bernama Neo Siang Joo.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 November 2017 hingga 30 Mei 2019 yang mana tertuduh mengetahui Siang Joo mempunyai hubungan rasmi dengan jawatannya sebagai Bintara Kanan Maritim.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohamad Fauzee Azizan meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan memohon tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah.
Ini kerana menurut Mohamad Fauzee, kes itu melibatkan saksi pendakwaan yang sama dengan satu lagi kes yang sedang berjalan di mahkamah negeri tersebut.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, P. Taneswaran dan Yuvanes Taruman memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan alasan isteri tertuduh yang merupakan seorang suri rumah hadir ke mahkamah untuk menjadi penjamin dan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.
Hakim turut membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah dengan tarikh sebutan semula pada 24 Februari ini.
Leave a Reply