APLIKASI eDesa merupakan platform dalam talian yang dibangunkan bagi mengetengahkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Sehubungan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan agensi atau sektor persendirian yang mempunyai produk e-dagang agar tampil memberikan kerjasama dengan pihaknya bagi membantu menjayakan aplikasi berkenaan.
“Aplikasi eDesa menawarkan ‘Produk Orang Kita’ yang menjadi tagline bagi menggambarkan aplikasi itu milik syarikat Malaysia. dan tumpuan platform ini adalah untuk meningkatkan hasil serta pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Aplikasi eDesa di sini, hari ini.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara eDesa, Desa Mall@KPLB dan syarikat penghantaran Delyva yang berkolaborasi dengan 20 syarikat penghantaran lain.
Sementara itu Pengarah Urusan eDesa, Saiful Zaharin Zakariya berkata pihaknya menyasarkan penglibatan 20,000 peniaga dalam talian yang akan memasarkan produk masing-masing menerusi aplikasi berkenaan menjelang akhir tahun ini.
“Setakat ini 500 peniaga telah mendaftar dan kami akan cuba menarik sekurang-kurangnya 1,000 peniaga menjelang Ramadan ini menerusi promosi di media sosial serta pengiklanan secara fizikal di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply