Pemuda UMNO bagaikan tak peka situasi semasa ekonomi

Tok Chey hairanlah dengan sikap segelintir pemimpin UMNO yang masih menggunakan cara lama untuk berpolitik. Orang lain dah maju ke depan tapi mereka masih mengamalkan cara lapuk yang jelas menunjukkan mereka semakin tidak tentu arah.

Apa yang Tok Chey maksudkan ialah tindakan Pemuda UMNO Parit Sulong yang membuat laporan polis susulan kenyataan Muhyiddin yang mengatakan bahawa situasi kewangan negara kita tak seberapa molek seperti digambarkan kerajaan.

Mereka menganggap Muhyiddin membocorkan maklumat kewangan negara yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Niat mereka untuk melihat Presiden Bersatu disiasat di bawah akta itu juga nampaknya tidak akan berhasil kerana Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menjawab segala-galanya.

Seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan itu, laporan kewangan yang disampaikan kepada Muhyiddin adalah seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan kepada ahli kabinet tanpa mengira mana-mana parti.

Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin memerlukan laporan-laporan seumpama itu untuk mengambil keputusan yang tepat membantu Perdana Menteri UMNO membawa Malaysia ke arah pemulihan selepas Covid. Fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan juga adalah fakta yang telah disebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.

Diulang sekali lagi, fakta yang telah disebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam. Sepatutnya Pemuda UMNO berbincanglah dahulu sebelum membuat laporan polis, ataupun setidak-tidaknya tanyalah dulu dengan orang mereka yang berada dalam kerajaan.

Jadi apa yang Tok Chey nampak Pemuda UMNO ini sama ada baru ‘keluar dari gua’ ataupun tak peka dengan keadaan semasa. Satu dunia tahu yang ekonomi di mana-mana sahaja cukup terkesan dengan Covid apabila semua sektor tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Disebabkan Covid, banyak sudah syarikat yang gulung tikar kerana tidak mampu untuk terus menanggung kerugian. Syarikat-syarikat yang pada kebiasaannya mencatat untung besar pula turut terkena tempias apabila jumlah keuntungan makin menguncup.

Apabila semua itu berlaku, ia secara automatik akan mengurangkan hasil kerajaan kerana jumlah cukai yang dibayar juga menurun. Takkanlah pemimpin UMNO tidak tahu semua itu.Kita sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana berani menyatakan kebenaran walaupun pahit.

Daripada apa yang dinyatakan itu membolehkan pimpinan kerajaan sentiasa berwaspada dan tidak leka berbelanja dengan boros sedangkan kantung kewangan negara makin mengempis. Mereka juga perlu berjimat cermat kerana banyak bantuan perlu diberikan kepada rakyat yang susah dan mahu kembali bangkit selepas dibadai Covid.

Itu belum campur hutang-hutang 1MDB berpuluh bilion ringgit yang ditinggalkan kerajaan UMNO/BN dulu dan masih perlu dilangsaikan.

Kepada Muhyiddin, teruskan menyatakan kebenaran kerana pendokong kebenaran pasti akan menang akhirnya.

  • Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *