anwar ibrahim UMNO

Alasan UMNO mahu kestabilan politik naratif palsu – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim mendakwa, alasan UMNO yang mahu mewujudkan kestabilan politik dan perpaduan untuk mewajarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan adalah naratif palsu.

Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tumpuan utama sepatutnya adalah bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan rakyat seperti peluang pekerjaan, kualiti pendidikan dan kos sara hidup.

“Stabil untuk senang ambil tanah? Stabil untuk senang rompak? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela,” kata Presiden PKR itu ketika berucap pada majlis pelancaran jentera PKR di Pulai Springs Resort, Johor Bharu malam tadi.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan permintaan partinya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan menggesa PRN, dengan mengatakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus berfungsi dengan hanya majoriti satu kerusi daripada 56 kerusi DUN.

Hasni berkata, kerajaan negeri tidak stabil dan memerlukan mandat baharu untuk meneruskan rancangannya di Johor.

Anwar berkata, naratif palsu itu juga terbukti selama 60 tahun pentadbiran BN sebelum PH berkuasa pada 2018.

“Stabil untuk apa? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela.., 60 tahun memang stabil! Tapi tidak menjamin keselesaan hidup rakyat. Jadi naratif stabil ini jangan mengelirukan.

“Begitu juga naratif perpaduan. Semua bicara soal perpaduan. Perpaduan Melayu, kesatuan ummah, perpaduan rakyat.

“Ya, negara yang merdeka harus bersatu-padu tapi untuk apa? Bersatu untuk keselesaan rakyat.

“Bukan bersatu turun-temurun punggah kekayaan,” kata Anwar yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, beliau telah bertemu dengan jentera parti di kesemua 20 kerusi, untuk mengenal pasti dan menyelesaikan pelbagai isu menjelang tempoh berkempen bermula selepas penamaan calon pada 26 Februari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *