SEORANG pengarah syarikat bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 35 pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM276,625, tahun lepas.
Datuk Reghu P.V. Bhaskaran, 61, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi
Dia dituduh mengemukakan laporan akhir mengandungi butiran palsu berkaitan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara Reform Training di bawah MITRA kepada Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan dan Latihan MITRA, R. Kavithah di pejabat unit itu di Putrajaya pada 5 Mei 2021.
Dokumen itu dikatakan mengandungi butiran palsu berhubung senarai kedatangan peserta, surat perakuan penggunaan dana, baucar bayaran, invois dan cek deposit resit untuk 200 peserta golongan B40 bagi program berkenaan, sedangkan program tersebut sebenarnya tidak dilaksanakan.
Dia didakwa mempunyai kepentingan terhadap program itu yang bernilai RM950,160 yang diperuntukkan di bawah geran kewangan MITRA 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Reghu juga mengaku tidak bersalah atas 23 pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen palsu berhubung senarai kedatangan peserta program berkenaan, invois, baucar bayaran dan surat pengakuan penggunaan dana membabitkan nilai berjumlah RM100,625.
Dia yang didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Afif Ali mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan lelaki itu perlu melaporkan diri di pejabat SRPM berdekatan sebulan sekali.
Peguam Ariff Firman Mohd Sidek, yang mewakili Reghu memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya tidak sempat menyediakan wang jaminan yang tinggi kerana akaun banknya dibekukan.
“Saya memohon agar mahkamah membenarkan anak guam saya membayar jaminan secara ansuran sebanyak dua kali kerana dia hanya dapat notis untuk hadir ke mahkamah pada pukul 6 petang semalam dan tidak sempat mencari wang untuk membayar ikat jamin itu,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan mengarahkan tertuduh membayar RM10,000 hari ini dan baki RM15,000 perlu dibayar sebelum Rabu depan.
Mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk serahan dokumen.
— BERNAMA
Leave a Reply