Tolak parti amal kleptokrasi dalam PRN Johor-Azmin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGUNDI Johor perlu mencipta sejarah baharu dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menolak golongan kleptokrat yang mahu berkuasa semula.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat Johor perlu membuat pilihan bijak dan tidak memilih gabungan politik yang mengamalkan rasuah, tidam amanah dan salah guna kuasa.

“Tidak lama lagi ada ‘hari yang besar’ di Johor, buat keputusan yang betul. Kita perlukan kerajaan yang kuat, kita perlukan pemimpin yang berkredibiliti, jangan sokong kleptokrat. Sekarang masanya untuk buang mereka daripada Johor.

“Saya nak mengajak dan mengingatkan semua rakyat Malaysia ‘enough is enough’ (cukup-cukuplah). Dia dah curi duit kita berbilion ringgit, bukan satu atau dua bilion ringgit, kamu adalah pembayar cukai, ‘you’ kerja kuat dan bayar cukai kepada kerajaan. Akhirnya dia curi dan rompak wang kita,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Goodhope Hotel, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ketika ini pihak yang mengamalkan rasuah dan kleptokrasi mahu datang ke Johor untuk menagih undi semata-mata kerana PRN Johor.

“Hari ini mereka mahu datang ke Johor, mereka mahu mewakili kita, ‘no way’, ‘get out from negeri Johor’. Saya bukan marah tapi saya geram kerana saudara saudari, kamu kerja keras, nak dapat gaji RM1,000 pun susah tapi ada orang dalam akaun dia ada 2.6 bilion, macamana nak kamu nak jelaskan tu,” katanya.

Justeru katanya, penduduk negeri ini diseru untuk memilih parti politik ditunjangi rakyat Johor yang telah berjaya menyelamatkan negara ketika menghadapi tempoh mencabar akibat pandemik Covid-19 iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pemulihan ekonomi dan kesihatan negara ketika ini didasari pentadbiran Muhyiddin semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Kita gembira apabila Tan Sri Muhyiddin, seorang Bangsa Johor diberi tugas sebagai Perdana Menteri kerana pentadbiran beliau fokus dua perkara iaitu urus pandemik dan percepat pemulihan ekonomi dan kita berjaya.

“Jadi rakyat Johor, cipta sejarah baharu bermula di Johor. Saya tahu pihak sana yakin boleh menang majoriti dua pertiga tetapi kita bekerja keras, jadi pada 12 Mac ini mari kita bentuk kerajaan baharu yang bersih untuk rakyat Johor,” katanya.

Tambah Mohamed Azmin Muhyiddin tidak kekal sebagai Perdana Menteri bukan kerana beliau gagal.
sebaliknya dijatuhkan golongan kleptokrat.

“Jadi kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan. Walaupun golongan kleptokrat itu tidak bertanding dalam PRN Johor, tetapi rakan-rakan yang menyokong mereka masih ada dan bertanding dibawah logo yang sama,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *