PRN Johor adalah medan ajar golongan angkuh, gila kuasa-Pas Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor perlu menjadi medan terbaik untuk mengajar pihak yang sombong, gila kuasa dan mementingkan diri sendiri.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin berkata, sikap yang ditonjolkan golongan berkenaan tidak baik dan yakin apabila mendapat kuasa sesuatu yang ‘tidak baik’ akan berlaku pada masa akan datang.

“Tidak sepatutnya seseorang itu atau sesuatu golongan itu merasa sombong dan bongkak apabila dia merasakan ada kekuatan dan melupakan kawan-kawan. Bukan sahaja melupakan tetapi bahkan menghina kawan dan seumpamanya.

“Untuk memastikan masa depan negara kita, maka kita mestilah berani membuat perubahan dan dengan izin ALLAH SWT dengan penyatuan dan gabungan antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas Perikatan Nasional DUN Tenggaroh PRN Johor di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Mersing, malam tadi.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Turut hadir Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

Abdullah berkata, PRN Johor adalah satu peluang yang baik untuk pengundi menolak golongan tersebut dan mereka perlu berani membuat keputusan demi perubahan dengan izin Allah SWT.

Beliau mengingatkan diri dan juga ahli Pas termasuk jentera pilihan raya supaya bersama-sama berusaha membuktikan kekuatan serta kesungguhan untuk mencapai kemenangan dalam PRN Johor nanti.

“Maka apabila kamu berazam maka hendaklah kamu berserah kepada Allah setelah kita berusaha semaksima mungkin kita berserah kepada Allah.

“Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadanya, jadi saya mewakili rakan-rakan pimpinan Pas di semua peringkat menyatakan kita akan memberikan iltizam komitmen yang sebaik mungkin dalam PRN yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi,” katanya.

Menurutnya, pemerhati-pemerhati politik melihat bahawa PRN Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi merupakan satu kayu ukur untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“PRN Melaka tidak menjadi kayu ukur kerana PRN Johor ada pengundi pengundi muda dan pengundi automatik yang besar dengan jumlah 56 kerusi yang banyak di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kepelbagaian perkara dan suasana isu semasa inilah menjadi ukuran kepada PRU15,” katanya.

Sementara itu, Hoe Chai berkata, sepanjang Gerakan memerintah Pulau Pinang selama 39 tahun tiada satu kes rasuah terpalit kepada kerajaan negeri tersebut atau kepimpinan parti tersebut.

Namun apabila DAP memerintah katanya, tidak sampai beberapa tahun sudah timbul kes projek mega terowong dasar laut yang kini menjadi tumpuan utama rakyat melibatkan pemimpin parti tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *