Bekas COO didenda RM200,000 guna dokumen palsu sebagai tulen

Oleh RIZQI ZABIDI

MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM200,000 terhadap bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah syarikat pembersihan setelah dia tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2017 dan 2018,

Tertuduh, Azmi Amin Sarji, 53, yang merupakan bekas COO syarikat E-Idaman Sdn. Bhd., membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

Dalam ketiga-tiga kertas pertuduhan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan tiga dokumen sebagai tulen iaitu sijil pembayaran bagi November 2017 berjumlah RM74,489, sijil pembayaran Disember 2017 yang juga berjumlah RM74,489 dan sijil pembayaran untuk Mac 2017 berjumlah RM426,935.

Tertuduh didakwa mengetahui bahawa kesemua dokumen tersebut adalah palsu namun menggunakannya bagi membolehkan pihak tertentu membuat tuntutan bayaran dari syarikat berkenaan.

Kesalahan bagi pertuduhan pertama dan kedua didakwa dilakukan di Pejabat E-Idaman (Kedah dan Perlis Sdn. Bhd. di Wisma Idaman, Bandar Stargate di sini pada 4 Jun 2018.

Manakala untuk pertuduhan ketiga, kesalahan itu didakwa dilakukan secara niat bersama dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Mhd. Shaiful Anuar Zainal antara 8 Mei dan 9 Mei 2017 di lokasi sama.

Bagi dua pertuduhan awal, Hakim menetapkan kadar denda sebanyak RM70,000 setiap satu sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM60,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Pertuduhan dibuat Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsul Sulaiman.

Dalam sesi mitigasi untuk anak guamnya, Shamsul memohon mahkamah untuk mempertimbangkan fakta bahawa tertuduh langsung tidak mendapat manfaat daripada perbuatan tersebut memandangkan kesemua wang itu adalah untuk dana politik seperti dinyatakan dalam fakta kes.

“Satu sen pun wang itu tidak masuk ke poket tertuduh sebaliknya dia cuma satu daripada rangkaian panjang melibatkan ramai orang, untuk satu perkara yang disebut dalam fakta kes iaitu ‘dana politik’.

“Maaf cakap, tetapi selagi ada rasuah di peringkat tinggi, orang di bawah macam tertuduh, mereka yang bekerja untuk cari rezeki di kedudukannya, akan terpalit dengan perkara sedemikian. Sepatutnya bukan dia yang jadi kambing hitam,” katanya.

Sew Ping yang bangkit selepas itu bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh bagi sebagai pengajaran tidak hanya pada dirinya malah kepada masyarakat umum agar menjauhi amalan tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *