3 pemancing terperangkap bawah Jambatan Pulau Pinang

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menyelamatkan tiga pemancing yang terperangkap di bawah Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian awal pagi tadi. 

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa kira-kira pukul 2 pagi.

Katanya, salah seorang mangsa memaklumkan mereka mula memancing di bawah jambatan terbabit pukul 7 malam semalam dan bercadang pulang ke darat pukul 7 pagi ini.

Bagaimanapun katanya, hujan lebat tengah malam tadi menyebabkan laut bergelora serta air pasang besar dan situasi itu membimbangkan mangsa yang kemudian menghubungi bot yang disewa untuk membawa mereka pulang segera. 

“Namun, bot tersebut tidak dapat mengambil mereka di bawah jambatan disebabkan cuaca buruk dan membahayakan.

“Mereka terperangkap di bawah jambatan sebelum menghubungi Maritim Malaysia Pulau Pinang pukul 2 pagi untuk mendapatkan khidmat bantuan dan menyelamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan itu menggerakkan bot Kilat 26 ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa dan kesemua mereka tiba di Jeti PPM Batu Uban kira-kira pukul 4.45 pagi.

“Mangsa yang berjaya diselamatkan dikenal pasti sebagai Abu Bakar Dollah; Mohd. Khuzairi Azhari dan Siti Nur Fairus Abu Bakar berumur lingkungan 23 hingga 58 tahun serta berasal dari Permatang Pauh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana individu yang ingin keluar ke laut supaya memastikan langkah keselamatan telah diambil seperti memakai jaket keselamatan, membawa ‘Personal Locator Beacon’, menyediakan bekalan makanan dan minuman secukupnya, memaklumkan kepada ahli keluarga tentang perjalanan dan sebagainya. 

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *