UMNO, BN korek kubur sendiri dalam PRN Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berikrar Perikatan Nasional (PN) akan berjuang habis-habisan sekali gus menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor medan untuk menguburkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, cubaan UMNO dan BN untuk ‘membunuh dan menguburkan’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti itu adalah strategi pembunuhan karakter yang sedang dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kita faham bahawa kehendak UMNO adalah kuburkan Bersatu di negeri Johor tetapi di peringkat kita pula, kita nak UMNO dikuburkan di mana parti itu dilahirkan.

“Apa yang UMNO lakukan ketika ini adalah ‘character assassination’ (pembunuhan karakter), bagi mereka disebabkan Presiden UMNO seorang yang diragui kredibiliti yang sedang menghadapi pelbagai kes mahkamah dalam keadaan takde pilihan, itulah presidennya yang dia ada.

“Dia terpaksa pastikan presiden parti lain jugak dianggap tidak bersih. Jadi saya tidak pelikla UMNO dan BN ini, strategi dia untuk ‘character assassination’ sebab tiada ada pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti di Iskandar Puteri, malam tadi.

Wan Saiful mengulas mengenai dakwaan UMNO akan menjadikan PRN Johor sebagai medan untuk Muhyiddin dan Bersatu berkubur.

Katanya, tindakan pembunuhan karakter yang dilakukan UMNO itu adalah tindakan terdesak kerana Muhyiddin mempunyai rekod bersih.

“Macam saya cakap dalam ceramah saya tadi, kalau ditampal gambar (Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi dengan Tan Sri (Muhyiddin Yassin), saya rasa orang akan gelak bila buat perbandingan itu.

“Jadi ini peluang kita dan ini peluang rakyat untuk menunjukkan pada UMNO yang sudah tu sudahla. Kita dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) fokus untuk pastikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak mahu serta menolak parti atau gabungan yang diragui integritinya dan tidak mahu kerajaan yang hanya tahu membina kekayaan untuk diri dan keluarga mereka.

Disebabkan itu katanya, rakyat perlu menolak UMNO dan BN dalam PRN Johor dengan mengundi PN untuk sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan mempunyai integerti demi masa depan mereka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *