Oleh RAHIMI MOHAMAD
BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Peribahasa itu sesuai bagi menggambarkan kesengsaraan lima beranak yang kini hanya bergantung bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan.
Lebih menyedihkan, pasangan suami isteri yang juga orang kurang upaya (OKU) itu terpaksa akur apabila perniagaan sate diusahakan mereka tidak dapat diteruskan.
Ia selepas ketua keluarga itu, Zulkifli Ainul Mokhsein, 34, disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat yang menyebabkan dia tidak dapat melakukan kerja-kerja berat kerana akan terasa sakit di bahagian dada.
Bapa kepada tiga anak yang mengalami masalah pertuturan itu berkata, sebelum ini dia berniaga sate dengan menyewa tapak perniagaan berhampiran sebuah hotel di pusat bandar Johor Bahru.
“Apabila sakit datang ketika berniaga, saya perlu upah pekerja dengan bayaran RM40 sehari, jadi ia amat sukar. Buat masa ini, saya hanya berehat di rumah kerana tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.
“Kami sekeluarga kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM400 masing-masing buat saya dan isteri,” katanya yang hanya boleh mendengar pada jarak dekat dan kuat.
Menurut Zulkifli, isterinya, Siti Nuratika Mohd. Suhaimi, 30, yang juga OKU pekak dan bisu tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak mereka berusia lima bulan hingga enam tahun.
Tambah Zulkifli, dia dalam proses membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan penyakit kanser yang dihidapinya.
Malah, mereka juga perlu menanggung kos sewa rumah sebanyak RM250 sebulan di Taman Setia Indah, Johor Bahru.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi yang turut memaklumkan, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menghulur bantuan bulanan sebanyak RM400 kepada mereka.
“Saya terharu bertemu dengan keluarga seperti ini, suami isteri kedua-duanya pekak dan bisu manakala ketiga-tiga anak mereka pula normal.
“Saya akan pastikan MAINJ memberi perhatian kepada keluarga ini dan keluarga-keluarga lain yang berdepan situasi sama kerana tanpa bantuan, mungkin kehidupan mereka akan lebih sukar,” katanya.
Tosrin berkata, pihaknya juga akan berurusan dengan pemilik rumah berkenaan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) sekiranya bayaran sewa bulanan boleh dimansuhkan bagi meringankan beban yang ditanggung.
Orang ramai yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 101280031978 atas nama Zulkifli.
Leave a Reply