BEKAS Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman mempertahankan kritikannya terhadap bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dikatakan tiba-tiba ingin kembali aktif dalam politik.
Beliau berkata, seorang nakhoda yang tegar tidak wajar meninggalkan kapal saat laut bergelora, dan hanya kembali ketika lautan reda.
Syed Badli Shah turut mempersoalkan tindakan Rafizi mengkritik keputusan PKR dengan mendakwa parti salah meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.
“Bahkan dia sendiri menyerang keputusan parti dalam penulisan kononnya parti salah meletakkan calon.
“Ketika itu dia tidak sedar penulisannya mendatangkan implikasi kepada parti,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada seorang penyokong tegar Rafizi yang menegur Syed Badli Shah kerana mengkritik kepulangan Rafizi ke gelanggang politik dalam temu bual dengan sebuah agensi media baru-baru ini.
Individu terbabit menegur beliau kerana kononnya menerbitkan komentar berkait kepulangan Rafizi di saat yang tidak tepat kerana parti di ambang PRN Johor.
Syed Badli Shah menambah, beliau sentiasa mengamalkan sikap berkata benarlah walaupun pahit dan tidak diajar untuk takut mengkritik terhadap sesuatu yang pada hematnya sebagai kepincangan.
“Biarpun semua orang tidak bersetuju dengan apa yang saya sampaikan, saya tetap akan berdiri dan terus bercakap demi kebenaran.
“Saya tidak pernah goyah untuk bercakap dan menegur selagi saya tahu teguran saya berasas.
“Saya tiada masalah peribadi dengan saudara Rafizi dan segala kritikan saya hanyalah terkait soal parti dan perjuangan.
“Saya juga tidak menafikan segala sumbangan Rafizi pada PRU yang lalu,” jelasnya.
Leave a Reply