JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sejumlah 2.48 juta batang rokok putih bernilai RM2.18 juta termasuk cukai, di sebuah rumah di Kampung Telok, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Isnin lepas.

Pengarah JKDM Kelantan Mohd Nasir Deraman berkata pihaknya menemui sebanyak 248 kotak besar mengandungi rokok seludup dalam serbuan pada pukul 4 petang itu.

Beliau berkata rokok yang dirampas bernilai RM496,000 manakala cukai yang terlibat adalah sebanyak RM1,686,400.

“Berdasarkan maklumat, modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk rokok-rokok terbabit melalui sempadan negara di Sungai Golok dan menjadikan rumah tersebut sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“JKDM juga kini sedang mengesan pemilik rumah tersebut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nasir menggesa orang ramai agar membantu memerangi jenayah penyeludupan seperti penyeludupan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta menasihatkan mereka agar tidak terbabit dengan aktiviti itu.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Katanya, orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram itu dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berdekatan selain memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here