LEBIH 50 laluan tikus yang digunakan penyeludup untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dari Indonesia ke negara ini dikenal pasti di sepanjang perairan Selangor hingga ke Perak.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, laluan tikus itu dikenal pasti bermula di sekitar perairan Klang, Sabak Bernam, Selangor sehingga ke perairan Hutan Melintang, Perak.
Menurut beliau, pihaknya juga mendapati aktiviti penyeludupan PATI itu meningkat kebelakangan ini susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi terutama melibatkan sektor perladangan.
Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati seorang PATI membayar RM1,500 hingga RM2,000 kepada penyeludup untuk masuk ke negara ini selepas dijanjikan pekerjaan dalam bidang perladangan; pembantu rumah dan sebagainya.
“Modus operandi yang digunakan oleh penyeludup PATI ini adalah mereka memasuki perairan negara pada waktu malam tanpa menggunakan lampu.
“Mereka juga menggunakan bot-bot nelayan yang diubah suai sehingga mampu memuatkan antara 100 hingga 200 orang PATI dalam sesebuah bot,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, jarak antara Indonesia dengan kawasan perairan di Selangor yang hanya kira-kira empat hingga lima jam perjalanan juga menyebabkan perairan itu menjadi laluan tumpuan penyeludup.
Dalam masa sama ujarnya, kawasan yang menjadi laluan tikus itu juga agak jauh daripada pangkalan utama polis.
“Bagaimanapun, kita sentiasa meningkatkan rondaan di kawasan sempadan negara terutama melibatkan kawasan-kawasan yang menjadi ‘hotspot’ laluan tikus ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shamsol berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya berjaya menahan seorang warga tempatan dan 12 warga Indonesia yang merupakan penyeludup serta ahli sindiket penyeludupan.
Dalam empoh sama tambahnya, seramai 188 PATI warga Indonesia berusia 21 hingga 45 tahun termasuk 42 wanita turut ditahan dalam operasi di perairan Sungai Buluh, Tanjung Karang dan Sungai Serdang, Selangor.
Leave a Reply