EKORAN kegagalan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam atas kenyataan berunsur fitnah berhubung kes gangguan seksual, satu permohonan penghakiman ingkar berjumlah RM30 juta telah difailkan terhadap beliau.
Permohonan tersebut telah difailkan Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar setelah Lokman gagal memfailkan pembelaannya walaupun Mahkamah Tinggi melanjutkan tempoh akhir sehingga Jumaat lepas.
Memetik laporan Berita Harian hari ini, Na’im menuntut RM10 juta setiap satu bagi ganti rugi teladan, teruk dan punitif berserta faedah 5 peratus sehingga jumlah penghakiman dibayar.
Menurut laporan-laporan media, permohonan difailkan menerusi Tetuan Akberdin & Co di pejabat pendaftaran pada Isnin dan perkara ini telah disahkan peguam Na’im, Akberdin Abdul Kadir.
Sebelum ini pada 7 Februari, hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan peguam Lokman memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya pada 11 Feb dan Na’im memfailkan jawapannya, jika perlu, selewat-lewatnya pada 25 Februari.
Rozana turut melanjutkan injunksi ex parte yang diperoleh Na’im terhadap Lokman untuk menyekatnya daripada membuat komen dan menghapuskan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut.
Dengan mengekalkan status quo, hakim juga menetapkan 22 Mac bagi perbicaraan inter parte berhubung injunksi berkenaan.
Pada 19 Januari, Na’im memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim terhadap Lokman, yang mendakwanya terbabit dalam beberapa kes gangguan seksual, termasuk kes beliau dikatakan berbogel di dalam bilik tidur rumah seorang wanita.
Na’im berkata, Lokman mengeluarkan kenyataan bersifat menghina terhadapnya dalam Facebook dan YouTube.
Katanya, kenyataan tersebut membayangkan beliau seorang ‘oportunis rohani’, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.
Na’im membuat laporan polis pada 12 Januari untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan bergelar ‘Datin’, dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya.
Leave a Reply