EMPAT anggota polis termasuk dua pegawai berpangkat Inspektor cedera akibat dilibas dengan parang dan kerambit kerambit oleh seorang lelaki mengamuk dalam pergelutan di Kampung Sedar, Tumpat, Kelantan malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, seorang daripada mangsa menerima lapan jahitan di lengan kanan, sementara seorang lagi mengalami luka sepanjang sembilan sentimeter di belakang kepala.
Sementara dua lagi mangsa cedera ringan di belakang badan dan tangan.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri memberitahu, semua mangsa berusia 20-an hingga 30-an itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Menurut beliau, sebelum kejadian polis menerima panggilan kecemasan mengatakan seorang lelaki dipercayai mengalami sakit mental mengamuk, lalu pegawai serta anggota terbabit bergegas ke lokasi.
Katanya, semasa proses tangkapan dibuat, suspek yang bersenjata sebilah parang dan kerambit bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan.
“Dalam pergelutan itu, semua mangsa mengalami kecederaan selepas dilibas suspek yang berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Balai Polis Wakaf Bharu antara Sarjan Mejar Mohd. Sakri Abdul Ghani yang menggantikan Sub Inspektor Abd. Halim Shafai.
Menurut Mohd. Azmir, suspek berjaya ditahan dan polis turut merampas sebilah parang berukuran 0.6 meter serta sebilah kerambit sepanjang tujuh sentimeter.
Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati suspek yang memiliki kad pesakit mental itu positif dadah jenis methampethamine.
Katanya, semakan juga mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan (KK) kerana curi kenderaan.
“Lelaki itu kini direman empat hari bermula semalam babgi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 KK serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,”jelas beliau.
Leave a Reply